Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Anak Muda

MB HARUS TEGAS DALAM ISU PJD LINK – Farkhan Yassin AMK

Kongsikan Artikel Ini

3 September 2021

 

Penjelasan dan komitmen YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amiruddin Shari berkaitan isu pembinaan Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) kepada Biro Politik KEADILAN pada 1 September yang lepas disambut baik dan amat dialu-alukan. Projek ini tidak lain hanyalah merupakan projek KIDEX 2.0, di mana idea asalnya telah dibantah beramai-ramai oleh penduduk pada 2015 yang lalu. Malah, ramai di kalangan pemimpin KEADILAN ketika itu juga senada dengan bantahan rakyat untuk tidak meneruskan projek lebuhraya bertol tersebut.

 

Selangor telah pesat diliputi lebuh raya bertingkat, kononnya untuk pembangunan masyarakat dan penduduk. Hakikatnya, kebanyakan lebuh raya ini dibina bertujuan ‘menganugerahkan projek’ kepada pemaju dan syarikat, juga ‘mengenyangkan’ mereka. Sehingga sesetengah lebuh raya yang dibina telah mencacatkan keindahan dan kehijauan beberapa kawasan, menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri ‘Hutan Besi’.

 

Kajian lalu lintas selalunya tidak diendahkan oleh pemaju-pemaju ketika pembinaan, apatah lagi kesan sosio-ekonomi kepada penduduk. Lihat sahaja pembinaan Lebuh Raya DASH sekarang ini, terutama di kawasan Damansara Perdana, di mana pembinaan jalan bertingkat berkaitan hampir sepenuhnya menutupi pemandangan pengguna jalan raya di bawah ‘flyover’, mencacatkan panorama yang suatu ketika dahulu merupakan sebuah kawasan bukit yang indah.

 

Dato’ Menteri Besar ada menyatakan bahawa pihak pemaju bakal memberikan penjelasan selain mengambil kira dapatan-dapatan daripada sesi pendengaran sebelum ini, namun ianya tidak harus hanya dijadikan sebagai PELENGKAP SYARAT. Pembinaan pelbagai lebuh raya di Selangor sebelum ini telah hanya menjadikan sesi pendengaran sebagai ‘penyedap’ bicara, sering kali membelakangkan kepentingan penduduk.

Idea kononnya pembinaan lebuh raya melambangkan kemajuan sesebuah negeri sudah tidak terpakai lagi, terutama buat penduduk Selangor yang bijak pandai. Kemajuan sebenar sesebuah negeri dan negara itu harus diukur dengan kejayaan dan keupayaan kerajaan dalam mengoptimumkan sistem pengangkutan awam, memperkenalkan rancangan aliran trafik yang teratur menggunakan jalan raya sedia ada, serta pada masa yang sama memelihara flora dan fauna.

MB Selangor bidas fitnah yang mengaitkannya dengan ADUN wanita | Astro Awani

Tidak perlu kita berulang kali menjadikan bandar-bandar seperti Melbourne, Singapura dan London sebagai rujukan dan bandar contoh dengan gelaran ‘livable city’. Bandar-bandar ini jelas mempunyai perancangan perbandaran yang strategik, selaras dengan misi SDG yang ditetapkan oleh UN, dan bukan hanya menjalankan pembangunan carca-merba.

 

Pakatan Harapan sentiasa komited untuk mengurangkan beban tol buat penduduk di Lembah Klang. Maka, pengenalan satu lagi projek lebuh raya bertol seperti PJD Link ini semestinya bakal membebankan rakyat, apatah lagi ianya bertentangan dengan aspirasi pakatan ini.

 

Dato’ Menteri Besar harus mengutamakan rakyat dalam isu ini, kerana Negeri Selangor telah teruk ‘diratah’ pemaju-pemaju yang rakus mengejar keuntungan dengan menjual projek atas nama ‘kepentingan rakyat’.

 

Ianya merupakan sebuah projek Kerajaan Pusat, maka Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Dato’ Menteri Besar harus tegas dalam mengutamakan dan memperjuangkan kepentingan semua pemegang taruh, yang mana pemegang taruh yang paling terkesan dalam hal ini adalah RAKYAT.

 

 

FARKHAN YASIN

EXCO AMK Malaysia
SU Pengelola AMK Selangor
Naib Ketua Cabang KEADILAN Subang

 

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Copyright © 2021 Media Rania