Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Ekonomi

Keputusan Buat Undi Percaya Pada September Jejas Perniagaan Dan Ekonomi Negara

Kongsikan Artikel Ini

Keadaan ekonomi akan bertambah buruk dengan sebarang penangguhan dalam usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, menurut dua ahli ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito dan Mohamed Aslam Haneef daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yakin para pengusaha perniagaan kecewa undi percaya berkenaan akan ditangguhkan hingga bulan depan, seperti yang diumumkan Muhyiddin semalam.

Kata Ferlito, pemerhati pasaran kecewa kerana tidak mendapat tanda kejelasan dan hala tuju yang diharapkan semasa ucapan perdana menteri kepada negara semalam.

Katanya, indeks keyakinan pengguna dan perniagaan menjunam dan pelabur bimbang tentang persekitaran perniagaan yang tidak menentu.

“Pelabur tidak tahu apa yang boleh mereka jangka pada masa hadapan,” katanya.

“Ini tambahan kepada hakikat pengguna tidak dibenarkan berbelanja, atau mereka tidak boleh berbelanja kerana kuasa pembelian merosot.

“Walaupun banyak industri dapat beroperasi, produk yang mereka hasilkan perlu mencari pasaran. Jika tidak, stok hanya akan terkumpul di gudang atau dijual di luar negara.

“Pasaran sekarang terkunci dan kita tidak tahu berapa lama lagi keadaan ini akan berlarutan.”

Ferlito berkata, lebih baik jika persoalan sama ada kerajaan semasa masih kukuh dijawab bulan ini kerana perniagaan perlu dapat gambaran jelas mengenai strategi kerajaan untuk keluar daripada wabak dan menghidupkan kembali ekonomi.

“Tanpa strategi yang jelas untuk menangani hal ini, keadaan akan menjadi lebih buruk bagi pengusaha perniagaan dan rakyat,” katanya.

Aslam berkata, kegiatan berpolitik akan meningkat bulan ini, dan ini akan menambah kepada ketidaktentuan terhadap perniagaan yang tidak disukai pelabur.

Katanya, berbanding siapa yang berkuasa, perniagaan lebih peduli tentang dasar-dasar yang akan dilaksanakan untuk membawa negara keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi.

“Ini mengenai apa yang kerajaan lakukan, seberapa efektif dasarnya dan sama ada ia bersedia melakukan perubahan yang berani dan substantif terhadap sistem semasa,” kata Aslam.

Beliau berkata, kerajaan semasa gagal memperbaiki situasi Covid-19 dan ekonomi walaupun dalam keadaan darurat.

“Tidak boleh ada lagi perubahan kepada model lama,” katanya.

“Siapa pun yang berada di Putrajaya harus bersedia mengambil pengajaran daripada ekonomi pasaran sosial, model yang menekankan pasaran dengan keseimbangan sosial.”

Semalam, Muhyiddin mengumumkan bahawa beliau tidak akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri walaupun ada tekanan daripada Umno dan parti-parti pembangkang. Beliau masih mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, katanya.

Beliau berkata, kerajaannya akan membentangkan usul undi percaya di Dewan Rakyat pada September untuk menguji sokongan majoriti terhadapnya.

Ahli Parlimen pembangkang membantah keputusan ini, sebaliknya mencabar beliau untuk melakukannya bulan ini.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Ekonomi

Kongsikan Artikel IniSHAH ALAM, 17 Sep – Menyedari masih ramai yang terkesan akibat penutupan sektor ekonomi terkait pandemik, Covid-19, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)...

Ekonomi

Kongsikan Artikel IniCUPERTINO, 15 Sep – Syarikat gergasi telefon pintar, Apple Inc melancarkan barisan iPhone baru dengan sasaran menarik perhatian pengguna dengan peningkatan keupayaan...

Ekonomi

Kongsikan Artikel IniLAPORAN – Prestasi Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan begitu membanggakan apabila perbelanjaan MARRIS Negeri Sembilan tahun 2020 adalah yang terbaik dalam negara....

Ekonomi

Kongsikan Artikel IniSEREMBAN, 6 Sep – Kutipan hasil cukai Negeri Sembilan meningkat sebanyak 84.1 peratus bagi tempoh Januari sehingga 31 Julai lalu, apabila RM130.9...

Copyright © 2021 Media Rania