Anak Muda

Pengkhianatan PN bertentangan dengan Islam

Kongsikan Artikel Ini

Dalam sejarah Islam tercatat pengkhianatan berlaku pada peringkat awal penyebaran Islam. Ubay bin Ka’ab menjadi ‘pelakonnya’ dengan mengkhianati pasukan Islam dalam Perang Uhud sehingga kemenangan yang sudah di depan mata akhirnya sirna. Akibat perbuatan khianat yang dilakukan satu orang, jutaan orang akan menanggung derita dan kegagalan yang diakibatkan oleh perbuatan khianat.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) merupakan kerajaan yang lemah dan tidak akan bertahan lama kerana terhasil daripada sokongan yang diasaskan pengkhianat.

Kerajaan hari ini ditubuhkan atas dasar zalim tidak akan menghasilkan keyakinan mahupun rasa aman terutama dalam kalangan pelabur dan rakyat. Tindakan khianat yang tidak bertanggungjawab menghasilkan kerajaan lemah serta kerajaan tidak dihormati.

Malah, pengkhianatan ini bercanggah dengan kepentingan negara serta satu kezaliman kepada rakyat yang memberi mandat, berbeza dengan kerajaan asal sebelum ini iaitu Pakatan Harapan (PH) yang kukuh, malah pelabur dan rakyat juga selesa.

Kerjasama PN dengan Muafakat Nasional jelas merupakan kesatuan atas faktor Melayu Islam semata-mata. Ia tidak memberi penekanan dan penegasan kepada persoalan keadilan dan menentang kezaliman.

Atas semangat mahu kesatuan orang Melayu Islam mereka sanggup bersekongkol dan bersepakat menjatuhkan kerajaan PH. Maknanya mereka bersatu atas dasar kaum dan agama sama tetapi tidak mencukupi, malah ia satu asas yang rapuh kerana ia adalah kerajaan yang dibentuk sekadar di mana ahli Parlimen diikat melalui tawaran jawatan dan kedudukan sama ada sebagai menteri atau timbalan menteri.

Pengkhianatan satu sikap atau pendirian yang bercanggah dengan Islam. Islam utamakan sikap amanah dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan khianat.

Perbuatan khianat juga memercikkan implikasi kepada dua dimensi kehidupan iaitu dimensi spiritual dan dimensi sosial. Perbuatan khianat dalam dimensi spiritual menyerlahkan sikap melanggar dan menentang ketentuan Allah dan Rasul-Nya. Orang yang berbuat khianat, sama ertinya dengan mengkhianati Allah dan Rasul. Hal ini ditegaskan Allah dalam firmannya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu sedangkan kamu mengetahui” (Al Anfal 27).

Selain menanggung dosa, perbuatan khianat juga menimbulkan bahaya kepada struktur masyarakat. Kesan yang timbul antara lain, memudaratkan dan menghancurkan tata nilai dan pegangan yang dianut masyarakat, mencetuskan permusuhan dan perbalahan yang tiada berkesudahan antara pengkhianat dan orang yang dikhianati dan menimbulkan sikap curiga mencurigai di kalangan masyarakat.

Golongan ‘pengkhianat’ ini sanggup menggadaikan maruah dan kehormatan diri serta agama kerana mahukan kedudukan politik yang lebih baik. Sejarah mengajar manusia bagaimana golongan atau individu yang berusaha mencapai matlamatnya secara tidak jujur ini telah mengkhianati bangsa, agama dan negaranya sendiri. Golongan ini menjadi ‘duri dalam daging’ dan berusaha sehabis tenaga walaupun sedar tindakan yang diambil itu adalah paling tidak beretika.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Copyright © 2021 Media Rania

Exit mobile version