Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Politik

Sidang Parlimen Tanpa Usul Dan Bahas, Seolah-Olah ‘Melepas Batok Di Tangga’

Kongsikan Artikel Ini

Sidang khas Dewan Rakyat esok tidak akan berguna tanpa usul dibentangkan dan dibahaskan oleh ahli parlimen, kata beberapa pemimpin dan wakil rakyat Umno hari ini.

Ini selepas parlimen pada awal hari ini mengeluarkan surat aturan mesyuarat Dewan Rakyat yang bermula Isnin depan, yang menunjukkan sidang itu akan dipenuhi dengan sesi taklimat oleh para menteri.

Walaupun ahli parlimen lain diizinkan untuk mengajukan soalan yang perlu dijawab oleh lima menteri yang hadir, namun tidak dijadualkan sesi perbahasan atau sesi pengundian usul.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menyifatkan sidang parlimen bermula 26 Julai ini “seolah-olah hendak melepaskan batok di tangga sahaja.”

“Jika setakat sesi penerangan dan taklimat, lebih baik hantar dalam bentuk PDF sahaja dan tak payahlah bersidang”.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan pula ketika dihubungi petang ini meluahkan rasa kesalnya dengan agenda sidang parlimen kali ini.

“Sepatutnya dia perlu perbahasan, perlu kelulusan (usul), barulah ada pertanggungjawaban.

“Kalau tiada perbahasan, tidak ada kelulusan, pihak eksekutif boleh berbuat apa saja tanpa ada semak imbang yang tuntas.

“Jikalau ada perbahasan dan kelulusan, barulah dia orang (kerajaan) akan bersungguh-sungguh.

“Kalau tak bersungguh-sungguh tak lulus di parlimen, aku habis.

“Sebab tidak ada (perbahasan dan kelulusan, maka) pihak eksekutif dia boleh lepas tangan lah”.

Menurut Ahmad, hal ini kali pertama baginya sejak menjadi ahli parlimen pada tahun 2008 bahawa sidang parlimen berlangsung tanpa perbahasan.

Ahmad berkata sebelum ini, dia mengambil bahagian dalam dua sidang khas parlimen – satu untuk membincangkan isu Palestin pada tahun 2009 dan satu lagi pada tahun 2015 mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

“Memang lah boleh tanya soalan. Bukan bahas. Lepas tu tidak ada disebut untuk diluluskan. Tak ada.

“Yang sidang khas Palestin dan TPPA itu, dua-dua ada (usul) untuk diluluskan.

“Yang (sidang khas kali) ini, kenyataan menteri yang tidak perlu kelulusan. Nak bertanya, bertanya. Aduhai,” katanya.

Sesi soal jawab yang dijadualkan ini, kata Ahmad tidak boleh disalah anggap sebagai sesi perbahasan, menjelaskan ia dua hal yang berbeza.

Walaupun begitu, Ahmad yang juga ahli parlimen Pontian berharap agar Dewan Rakyat membenarkan isu-isu penting seperti Ordinan Darurat diteliti oleh ahli parlimen dan setiap MP yang ingin bercakap perlu diizinkan sekurang-kurangnya 15 minit dan tidak dihalang untuk bersuara.

Menurut aturan mesyuarat itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijadualkan memberi taklimat pertama, mengenai Pelan Pemulihan Nasional, diikuti oleh Menteri Kesihatan Dr Adham Baba (mengenai pengurusan wabak Covid-19), Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin (mengenai program vaksinasi), Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz (mengenai pakej rangsangan ekonomi), dan Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang juga menteri pertahanan (mengenai darurat).

Perjumpaan MP, bukan sidang parlimen

Sementara itu, Ahli Parlimen Jerantut Ahmad Nazlan Idris pula menegaskan perjumpaan ahli parlimen pada minggu depan tidak tepat disebut sebagai sidang penuh Dewan Rakyat.

“Ini bukan sidang parlimen lah. Taklimat saja. Bukan persidangan parlimen.

“Tak boleh nak kata persidangan parlimen la. Kira perjumpaan ahli parlimen sajalah, mencatatkan sejarah”.

Menurut Nazlan, sebagai ahli parlimen dia berasakan tidak wajar sidang parlimen yang dijadual berlangsung minggu depan itu diadakan sebegitu.

“Tak menepati titah Tuanku (Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah) pada saya,” katanya merujuk titah Agong yang menyarankan parlimen bersidang sebelum 1 Ogos.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan memberitahu media dia berharap sidang parlimen akan datang bukan ‘sesi olok-olok.’

“Pun begitu, nampaknya ketakutan saya telah menjadi kenyataan”.

Shahril berkata walaupun kerajaan telah menetapkan agenda untuk sidang parlimen, namun dia berharap agar kerajaan memberikan penjelasan yang luas kepada Dewan Rakyat mengenai isu-isu kritikal yang dihadapi oleh negara hari ini.

Katanya, ini termasuk penjelasan menyeluruh mengenai bantuan kerajaan kepada rakyat, bagaimana kerajaan merancang membawa Malaysia melalui fasa Pelan Pemulihan Negara, kriteria industri yang dibolehkan beroperasi selama fasa tersebut, dan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Negeri

Kongsikan Artikel IniSEREMBAN, 7 Dis – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan perlu mengambil tindakan segera dan mencari punca kekerapan berlakunya banjir kilat...

Nasional

Kongsikan Artikel IniISKANDAR PUTERI, 7 Dis – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta bergerak ke depan dan tidak menjadikan institusi diraja...

Nasional

Kongsikan Artikel IniPUTRAJAYA, 7 Dis – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Bilal Erdogan, anak lelaki Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan,...

Ekonomi

Kongsikan Artikel IniPUTRAJAYA, 6 Dis – Tiada perubahan drastik dijangka dilaksana terhadap program berkaitan pemerkasaan Bumiputera yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Menteri...

Copyright © 2021 Media Rania - LIVE ON NEW SERVER