LONDON, 11 Jul – Pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic menepati ramalan apabila merangkul gelaran Wimbledon keenam untuk menghimpun 20 gelaran Grand Slam sekali gus menyamai pencapaian seteru utamanya, Roger Federer dan Rafael Nadal.
Gelaran itu diraih Djokovic selepas bangkit membenam pemain dari Itali, Matteo Berrettin 6-7 (4-7), 6-4, 6-4, 6-3 di hadapan lebih 15,000 penyokong di Centre Court, sebentar tadi.
Berrettini yang juga pilihan ketujuh dari Itali mendapat sokongan padu, namun gagal mengekalkan kelebihan pada final major pertamanya itu.
Selaku pilihan utama, Djokovic sudah memenangi tiga gelaran Grand Slam pada tahun ini.
Susulan kejayaan merangkul Terbuka Australia dan Terbuka Perancis sebelum ini, pemain Serbia itu muncul pemain kelima dalam sejarah dan juga pemain kedua dalam Era Terbuka selepas Rod Laver pada 1969 – merangkul tiga gelaran major pertama dalam semusim.
Berdasarkan kejayaan terbarunya di Wimbledon, dia kini hanya selangkah untuk menjadi pemain kedua yang merangkul ‘Golden Slam’.
Hanya Steffi Graf berjaya melakukannya pada 1988 apabila pemain wanita dari Jerman itu memenangi kesemua empat gelaran major dan Olimpik dalam satu tahun kalendar.
– AGENSI
FAKTA
Grand Slam Dalam Setahun:
1. Terbuka Australia – Melbourne
2. Terbuka Perancis – Paris
3. Terbuka United Kingdom – Wimbledon
4. Terbuka Amerika Syarikat – New York