Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Nasional

Tangguh Parlimen Umpama “Bom Jangka”

Buktikan sokongan majoriti 112 kerusi di Parlimen walaupun dua kerusi (Batu Sapi dan Gerik) masih kosong - Foto: Facebook
Kongsikan Artikel Ini

YANG di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu menyarankan Perdana Menteri Mahiaddin Yassin supaya “persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin” menerusi kenyataan media pada 16 Jun, 2021. Keputusan ini amat mengejutkan dan mendapat reaksi positif daripada rakyat dan ahli Parlimen.

Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan mengeluarkan fatwa saranan Perdana menteri untuk membuka parlimen pada fasa ketiga, antara September atau Oktober menzahirkan permintaan Agong.

Alasan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melewatkan persidangan Parlimen tidak diterima orang awam yang kini mahu Parlimen bersidang. Mereka melihat ia satu keperluan yang amat penting.

Ada pepatah Arab berbunyi: “waktu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, ia akan memotong kamu”. Peribahasa Melayu pula menyebut “masa itu emas”. Maksudnya, masa itu amat penting dan berharga, dan ia tidak seharusnya disia-siakan.

Jika perkara ini dibiarkan begitu lama, ia ibarat “bom jangka” yang akan memberi implikasi buruk yang berganda kepada ekonomi, kesihatan, dan politik negara.

Tiga “grand exit strategy”

Kini, kerajaan PN perlu menyelamatkan rakyat daripada bom jangka yang akan memudaratkan kehidupan mereka. Saya berpendapat, tidak wajar sekiranya parlimen ditangguhkan lebih lama dan perlu bersidang selewat-lewatnya pertengahan Julai 2021. Mengapa perkara ini penting?

Pertama, tekanan ekonomi akibat krisis pandemik masih lagi dirasai rakyat dan ia perlu diatasi lebih awal. Polisi “tunggu dan lihat” kerajaan PN yang melengahkan perancangan ekonomi menjadi faktor utama kehidupan rakyat terbeban sehingga hari ini, khususnya dalam tempoh darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majlis Tindakan Ekonomi (AEC) melaporkan hampir 600,000 isi rumah berpendapatan pertengahan (M40) telah menjadi golongan berpendapatan rendah (B40) akibat krisis pandemik. Ini bermaksud, lapisan B40 sudah menjadi kian ‘gemuk’ dan perlu diuruskan dengan baik untuk mengempiskannya dalam fasa pemulihan.

Situasi buruk ini dapat diatasi dengan efektif sekiranya Parlimen bersidang lebih awal dan membahaskan pelan pemulihan ekonomi dan kesihatan, seperti Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang sepatutnya dibentangkan pada 2020.

Malah, Akta Langkah-langkah Sementara (Covid-19) 2020 perlu disemak semula oleh Parlimen dengan segera untuk membantu rakyat yang terkesan, khususnya dalam komitmen perjanjian kontrak dan sewa premis selepas darurat atau sekatan penuh pergerakan berakhir.

Kedua, pelan menangani pandemik, khususnya Pelan Pemulihan Negara (PPN), perlu penambahbaikan segera.  Indikator PPN yang tidak jelas, seperti kebergantungan kepada kes positif harian dalam fasa pemulihan akan menyebabkan perancangan dilihat akan gagal sebelum ia dilaksanakan.

Parlimen perlu menyemak indikator PPN dengan menekankan saringan Covid-19 secara besar-besaran, memperkukuh jentera kesihatan awam, dan program vaksinasi yang perlu dilakukan segera dan menyeluruh di seluruh negara dalam tempoh jangka masa panjang.

Ketiga, Parlimen perlu membahaskan krisis politik yang melanda negara sebelum tamatnya darurat. Amat wajar sekiranya parlimen dan kerajaan bersetuju menggubal sebuah undang-undang seperti Akta Parlimen Penggal Tetap (FTPA) 2011 di United Kingdom yang menetapkan tarikh pembubaran parlimen dan pilihan raya umum untuk membendung  krisis politik yang amat merugikan negara dan rakyat.

Ketiga-tiga perkara ini adalah “grand exit strategy” (strategi keluar utama) yang perlu dibahaskan parlimen dalam waktu terdekat. Sudah sampai waktunya ahli parlimen dan kerajaan merencana semula pelan yang lebih efektif memerangi Covid-19 dan pemulihan ekonomi rakyat secepat mungkin.

Membuka Parlimen sebelum tempoh darurat tamat akan menjadi satu langkah bijak dan berani untuk menyelamatkan rakyat daripada bom jangka yang akan menjejaskan fasa pemulihan negara untuk keluar daripada krisis pandemik.

Tidak boleh berlengah lagi

Hakikatnya, kerajaan PN sudah kesuntukan masa untuk menangani wabak Covid-19 yang kian meningkat. Sudah hampir setahun pandemik menguji kita. Tetapi, oleh kerana sikap kerajaan PN yang gemar membuang masa dengan dogma politik kuasa dan melengahkan pembukaan Parlimen, ia membawa rakyat dalam situasi yang lebih buruk.

Membuka sidang Parlimen dengan memberi fokus kepada perbahasan grand exit strategy amat penting supaya Malaysia berada di landasan betul bagi memerangi wabak untuk tempoh akan datang.

Tidak ada sebab kerajaan PN melengahkan persidangan Parlimen sedangkan beberapa negeri sudah bersetuju membuka sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) secepat yang mungkin selaras dengan pandangan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Kita tidak boleh memasuki fasa pasca darurat tanpa perancangan ekonomi dan kesihatan yang jelas bagi mengatasi impak buruk krisis pandemik. Kerajaan seharusnya terbuka kepada pandangan dan kritikan konstruktif ahli Parlimen yang mahukan perkara terbaik buat rakyat.

Pembukaan sidang Parlimen pada waktu terdekat ini juga adalah strategi utama untuk kita keluar daripada krisis pandemik. Lebih awal Parlimen bersidang, lebih ramai lagi nyawa dan ekonomi rakyat dapat diselamatkan sebelum mereka dikalahkan pandemik dengan lebih teruk lagi.

Ia juga memberi mesej jelas institusi parlimen dan kerajaan bersedia berkhidmat untuk negara dan rakyat dalam waktu yang tidak menentu ini.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Nasional

Kongsikan Artikel IniPUTRAJAYA, 5 Dis – Bermula 1 Januari depan, cabutan khas nombor ramalan dikurangkan kepada lapan kali setahun berbanding 22 kali pada era...

Nasional

Kongsikan Artikel IniPUTRAJAYA, 5 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra di...

Ekonomi

Kongsikan Artikel IniKUALA LUMPUR, 5 Dis – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan tumpuan segera beliau ialah membantu menyediakan Bajet 2023. Katanya, penyediaan belanjawan itu...

Nasional

Kongsikan Artikel IniPUTRAJAYA, 5 Dis – Rafizi Ramli menafikan dakwaan mengugut untuk ‘mencari’ Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki...

Copyright © 2021 Media Rania - LIVE ON NEW SERVER