Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Pendapat

Kedudukan Muhyiddin Macam “Itik Tempang”

PM paling gagal dalam sejarah negara - Mahiaddin Md Yasin
Kongsikan Artikel Ini

PENDAPAT, 20 Jun – PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin hanyalah seorang ahli Parlimen biasa. Beliau menang di kerusi Pagoh, iaitu satu daripada 222 kerusi parlimen seluruh negara. Secara nisbah, kekuatannya hanyalah 1/222.

Kekuatan Muhyiddin tidaklah sekuat Jokowi atau Joe Biden. Presiden Indonesia dan presiden Amerika Syarikat itu dipilih oleh seluruh rakyat mereka. Muhyiddin dipilih oleh pengundi di Pagoh sahaja.

Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen manakala Indonesia dan Amerika Syarikat mengamalkan sistem republik. Di Indonesia atau di Amerika Syarikat tidak ada institusi raja.

Kuasa politik perdana menteri Malaysia jadi kuat hanyalah kerana wujud Parlimen. Yang di-Pertuan Agong melantik YB Pagoh sebagai perdana menteri kerana pada hemat baginda Muhyiddin mungkin mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat (Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan).

Ertinya, kekuatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersumber dari sokongan ahli Parlimen, walaupun sokongan itu secara rasminya tidak pernah diuji di Parlimen.

Kedudukan perdana menteri yang sah sokongan majoriti lebih terjamin jika parlimen berfungsi sepenuhnya. Hanya perdana menteri yang tidak yakin sokongan sebenar kepadanya yang takut pada Parlimen.

Parlimen yang digantung, ditangguh atau diprorog seperti sekarang ini menjadikan kedudukan perdana menteri lemah dari segi kuasa eksekutif dan perundangan.

Apabila darurat berkuatkuasa dan parlimen digantung sejak 11 Januari 2021 lalu, maka kuasa eksekutif (Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan) dan kuasa perundangan (Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan) telah tertumpu ke tangan Yang di-Pertuan Agong.


Kuasa eksekutif dan kuasa perundangan perdana menteri pula berkurangan.

Sumber kuasa seorang perdana menteri dan jemaah kabinet sebenarnya datang dari dua punca. Pertama datang dari kuasa rakyat melalui pilihan raya. Kedua, dari Yang di-Pertuan Agong (Perkara 43(1) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan).

Tetapi, apabila Parlimen digantung, maka sumber kuasa rakyat yang menjadi teras demokrasi berparlimen itu turut digantung sama. Yang kekal berkuasa dalam kekosongan itu ialah institusi raja berperlembagaan.

Ini meletakkan kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kerajaan awam ketika ini umpama seekor itik tempang.

Lihatlah dan bacalah apa yang terkandung di dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021. Yang disebut berkuasa eksekutif dan perundangan hanyalah Yang di-Pertuan Agong, bukan perdana menteri yang mewakili kerajaan awam.

Sebenarnya, Yang di-Pertuan Agong tidak merampas kuasa dari kerajaan awam.

Sebaliknya perdana menteri yang lemah dan gagal yang memimpin sebuah kerajaan awam yang juga lemah dan gagal sebenarnya telah menyerahkan kuasa rakyat kepada institusi raja berperlembagaan.

Di sinilah kesalahan besar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terhadap rakyat Malaysia.

Muhyiddin gagal mempertahankan mandat, kuasa dan kedaulatan rakyat yang telah keluar beramai-ramai mengundi dalam pilihan raya umum pada 9 Mei 2018.

Rakyat mengundi dalam PRU-14 itu dengan penuh semangat dan keazaman untuk menubuhkan sebuah kerajaan rakyat, bukannya sebuah kerajaan darurat yang gagal.

Oleh hal yang demikian, satu jalan keluar untuk memulihkan semula kuasa sebuah kerajaan awam di Malaysia sekarang ini ialah dengan pembukaan semula Parlimen.

Penghargaan patut diberi kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang sepakat mahukan Parlimen dibuka dan darurat ditamatkan pada 1 Ogos.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu nampaknya lebih arif dan faham apa itu konsep asas negara iaitu demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Sepatutnya perdana menteri yang bertanggungjawab menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya  dibuka semula Parlimen.

Tanggungjawab perdana menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong dinyatakan di bawah Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Tetapi keadaan sudah terbalik. Pada 16 Jun lepas,  Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja pula yang menasihati perdana menteri secara berhemah agar Parlimen dibuka dan Darurat ditamatkan pada 1 Ogos.

Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dijadikan alasan oleh Muhyiddin untuk menolak kehendak Yang di-Pertuan Agong.

Dalam keadaan biasa Perkara 40(1) itu dalam banyak perkara memang terpakai, kecuali hal-hal tertentu dalam kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 40(2)(a),(b), dan (c).

Tetapi dalam keadaan carurat sekarang kuasa perdana menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong hampir terhakis sama sekali. Bukan salah siapa, tetapi silap perhitungan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sendiri.


Jika dibaca bersama-sama Seksyen 14(1) dan Seksyen 15(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, kuasa memanggil Parlimen dibuka semula terletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Jika Muhyiddin atau jemaah menterinya ingin berhujah bahawa tafsiran sedemikian bercanggah dengan perlembagaan persekutuan, maka silalah rujuk  Perkara 150 (6) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan tiada peruntukan mana-mana ordinan yang diluluskan semasa Proklamasi Darurat berkuatkuasa boleh menjadi tidak sah atas alasan bercanggah dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Jadi, untuk mengelakkan berlakunya krisis perlembagaan antara perdana menteri dengan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu, maka ada moleknya pada awal pagi Rabu 23 Jun ini Muhyiddin menasihati baginda supaya memanggil sidang Parlimen secepat mungkin.

Bukannya pada bulan September seperti diumumkan perdana menteri sebelum ini.

Hassan Abdul Karim,

Ahli Parlimen Pasir Gudang.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Pendapat

Kongsikan Artikel IniKENYATAAN MEDIA TIMBALAN KETUA PENERANGAN KEADILAN Oleh: Razeef Rakimin Ahad 04 Disember 2022 SANUSI KETERLALUAN LABEL PENYOKONG SENDIRI SEBAGAI PENGEMIS, BODOH Saya...

Pendapat

Kongsikan Artikel IniPENDAPAT, 4 Dis – Terasa lucu pula bila membaca kenyataan Mahiaddin Md Yasin yang mengecam susunan kabinet Anwar Ibrahim sebagai paling mengecewakan...

Pendapat

Kongsikan Artikel IniPENDAPAT, 2 Dis – Subsidi dan pembaharuan fiskal dijangka menjadi cabaran paling besar kepada kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-10,...

Pendapat

Kongsikan Artikel IniPENDAPAT, 1 Dis – Meneliti perbualan telefon Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang merakamkan ucapan tahniah beberapa...

Copyright © 2021 Media Rania - LIVE ON NEW SERVER