Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Nasional

Terkini: Kenyataan Media Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja 16 Jun 2021

Kongsikan Artikel Ini

Menyambut undangan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong , Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Raja-Raja Melayu telah mengadakan perjumpaan bersama baginda pada hari Rabu, 5 Zulkaedah 1442, bersamaan 16 Jun 2021, bertempat di lstana Negara Kuala Lumpur. Perjumpaan dihadiri oleh;

  1. DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
  2. DYMM Sultan Terengganu
  3. DYMM Sultan Selangor
  4. DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan
  5. DYMM Sultan Johor
  6. DYMM Sultan Perak
  7. DYMM Sultan Kedah
  8. DYMM Pemangku Raja Pahang
  9. DYMM Raja Perlis (diwakili oleh DYTM Raja Muda Perlis).

 

  1. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memaklumkan kepada Raja-Raja Melayu bahawa Baginda telah berkenan menerima menghadap 18 orang pemimpin parti politik secara bersemuka dan maya di lstana Negara, bermula pada hari Rabu 9 Jun sehingga hari Selasa 15 Jun 2021.

 

  1. Raja-Raja Melayu menzahirkan penghargaan pada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas sifat baginda mengamalkan budaya bermesyuarah , bersedia mendengar pandangan daripada institusi yang mewakili rakyat, dan pada hari ini mengadakan pertemuan untuk mendapatkan nasihat daripada Raja-Raja Melayu yang memerintah sembilan buah negeri dengan kedaulatan masing-masing . Semangat tersebut adalah selaras dengan budaya syura yang sangat dianjurkan oleh Islam ketika ummah menghadapi sesuatu perkara besar yang memerlukan penyelesaian.

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, Kuala Lumpur, 16 Jun 2021 – Foto: Bernama

4. Raja-Raja Melayu juga menzahirkan bahawa di peringkat negeri masing­ masing, Baginda-baginda turut menerima menghadap pelbagai pihak yang menyembahkan kebimbangan  terhadap  keadaan  negara  ketika  ini; mereka  turut menyembahkan pelbagai cadangan memohon kebijaksanaan Raja-Raja Pemerintah membantu merangka formula penyelesaian untuk dapat meringankan kesusahan dan tekanan hidup yang sedang dihadapi oleh majoriti rakyat ketika ini.

 

5. Dalam perjumpaan tersebut, Raja-Raja Melayu telah mencambahkan pandangan dan menzahirkan pendapat secara terbuka dan berterus terang dalam semangat saling menghormati , agar dapat dijadikan bahan panduan dan rujukan, membantu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong membuat ketetapan secara bijaksana, dan pada setiap masa melindungi kemuliaan dan kedaulatan takhta pemerintahan, kekal berkecuali dan bebas daripada dilihat (perceived) atau ditafsirkan berpihak kepada mana-mana individu atau kumpulan politik.

 

6. Raja-Raja Pemerintah mengambil maklum perkara-perkara berikut:

 

  • Negara sedang menghadapi wabak Covid-19 dengan angka jangkitan harian yang besar meskipun telah berada dalam pemerintahan darurat.

 

  • Keadaan ekonomi dan kewangan negara yang membimbangkan.

 

  • Suasana politik negara yang tidak stabil.

 

  • Perpaduan rakyat yang semakin retak.

 

  • Kesusahan yang sangat dihadapi oleh rakyat yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

 

  • Suasana pekerjaan, suasana hidup dan suasana pembelajaran di sekolah dan pusat-pusat pengajian yang terjejas dan menimbulkan pelbagai kerumitan.

  • Umat Islam yang tidak dapat melakukan program-program ibadah di masjid dan surau terutama untuk menunaikan Solat Jumaat; demikian juga penganut-penganut agama lain yang turut terhalang daripada berpeluang melakukan urusan agama masing-masing.

 

7. Raja-Raja Pemerintah sependapat dalam perkara-perkara berikut:

 

  • Nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara­-perkara lain.

 

  • Program vaksinasi hendaklah dipertingkatkan dengan mengurangkan kerenah birokrasi agar mencapai matlamat imuniti kelompok 80% secepat mungkin.

 

  • Program menangani wabak Covid-19 , hendaklah difahami serta mendapat sokongan rakyat tanpa menimbulkan sebarang keraguan dan tanpa dianggap mempunyai sebarang muslihat politik yang terselindung.

 

  • Kaedah menangani wabak Covid-19 hendaklah bersifat inklusif, melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam semangat yang sedia mendengar, sedia mempelajari, sedia melakukan pengubahsuaian, sedia melakukan penambahbaikan dan sedia melakukan penerokaan baharu hingga berjaya meyakinkan dan berjaya mendapat kerjasama penuh rakyat pelbagai peringkat.

 

  • Suhu politik yang semakin panas wajib diredakan.

 

  • Pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat.

 

  • Tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021.

 

  1. Raja-Raja Pemerintah berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, cabang legislatif dan cabang kehakiman untuk menjamin  berlakunya  tadbir  urus  yang  telus,  berintegriti  dan  bertanggungjawab ( accountable) kepada rakyat terutama dalam hal-ehwal kewangan dan perbelanjaan Dalam semangat tersebut Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang. Di peringkat negeri, Raja-Raja Pemerintah turut berpendirian  agar  Dewan-dewan Undangan Negeri dibolehkan bersidang  secepat mungkin. Kaedah dan prosedur persidangan seperti yang sedang diamalkan di beberapa buah negara yang terbukti dapat mengawal rangkaian jangkitan virus Covid- 19, wajarlah diperkenalkan dan diterima pakai di negara ini.
  1. Adalah menjadi kewajipan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah di negeri-negeri, untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan menghindarkan kemungkinan sebenar ataupun tanggapan berlakunya sebarang penyalahgunaan kuasa. Raja-Raja Melayu turut menegaskan pentingnya prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen diterjemahkan melalui budaya pemerintahan yang pada setiap masa meluhurkan Perlembagaan Negara dan mendaulatkan undang-undang.

 

Kenyataan media ini dikeluarkan dengan titah perkenan Raja-Raja Melayu.

Tan Sri Syed Danial bin Syed Ahmad
Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.

 

5 Zulkaedah 1442/16 Jun 2021.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Negeri

Kongsikan Artikel IniSEREMBAN, 7 Dis – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan perlu mengambil tindakan segera dan mencari punca kekerapan berlakunya banjir kilat...

Nasional

Kongsikan Artikel IniISKANDAR PUTERI, 7 Dis – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta bergerak ke depan dan tidak menjadikan institusi diraja...

Nasional

Kongsikan Artikel IniPUTRAJAYA, 7 Dis – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Bilal Erdogan, anak lelaki Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan,...

Ekonomi

Kongsikan Artikel IniPUTRAJAYA, 6 Dis – Tiada perubahan drastik dijangka dilaksana terhadap program berkaitan pemerkasaan Bumiputera yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Menteri...

Copyright © 2021 Media Rania - LIVE ON NEW SERVER