Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Nasional

Apa Itu MAGERAN Dan Adakah Diperlukan Sekarang?

Kongsikan Artikel Ini

Generasi muda Malaysia mungkin tertanya-tanya apa itu “MAGERAN” selepas disebut oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad semalam.

Bagi kebanyakan generasi yang lebih tua, ia mengimbau semula detik sejarah hitam negara.

Ia adalah singkatan atau akronim bagi Majlis Gerakan Negara.

Pada sidang media selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam, Mahathir mencadangkan penubuhan MAGERAN untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan sekali gus menawarkan diri beliau untuk mengetuainya.

Dengan bantuan daripada aktivis sosial Chandra Muzaffar, media melihat semula latar belakang MAGERAN dan peranannya sewaktu ditubuhkan.

Ia dibentuk pada 15 Mei 1969 selepas perisytiharan darurat dan perintah berkurung dikenakan susulan kejadian rusuhan kaum 13 Mei yang tercetus selepas pilihan raya umum pada tahun itu.

Ia berfungsi sebagai kerajaan sementara (interim) dan berusaha untuk memulihkan kedaulatan undang-undang dan membawa negara ke arah perdamaian nasional. Ia dibubarkan pada 1971.

Perdana menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman memilih untuk tidak memegang jawatan dalam MAGERAN dan melantik timbalannya, Abdul Razak Hussein, sebagai pengarahnya.

“Tunku berkata, beliau mahu seseorang yang boleh memberi perhatian penuh, Razak jauh lebih muda. Oleh itu beliau melantiknya untuk peranan itu,” kata Chandra.

Dengan negara yang baharu sahaja mengadakan pilihan raya, belum ada Jemaah Menteri yang dilantik. Oleh itu beberapa ahli Jemaah Menteri Tunku sebelum ini dilantik untuk berada dalam MAGERAN.

Ahli terkemukanya termasuk Dr Ismail Abdul Rahman, VT Sambanthan, Tan Siew Sin dan Muhammad Ghazali Shafie. Ketua angkatan tentera Tengku Osman Jiwa dan Ketua Polis Negara Mohamed Salleh Ismael juga menjadi ahli majlis.

Sebelum pilihan raya umum, Ismail meletak jawatan sebagai menteri dalam negeri atas faktor kesihatan tetapi apabila ditawarkan oleh Razak, beliau terus bersetuju untuk berkhidmat dalam majlis berkenaan.

Tan, presiden MCA dan Sambanthan, presiden MIC, masing-masing adalah menteri kewangan dan menteri kerja raya dalam Jemaah Menteri sebelum ini. Ghazali adalah setiausaha tetap di Kementerian Luar Negeri.

MAGERAN adalah sama seperti Jemaah Menteri dengan ahli majlis itu bertugas mengikut portfolio mereka.

Tugas utamanya ialah untuk memulihkan undang-undang dan peraturan. Dengan perintah berkurung dan tentera dikerahkan, ia mencapai tujuannya daengan mewujudkan semula keamanan dalam tempoh beberapa bulan.

Terdapat konflik berlaku beberapa bulan selepas 13 Mei tetapi majlis itu menanganinya dengan cepat, kata Chandra.

MAGERAN berperanan dalam menentukan hala tuju sosial dan ekonomi negara dengan menubuhkan badan seperti Majlis Perundingan Negara (NCC) dan Majlis Muhibah.

NCC, yang dipengerusikan oleh Razak, terdiri daripada wakil pelbagai komuniti, parti politik, badan profesional, kesatuan sekerja, kumpulan perniagaan dan lain-lain.

Antara tugas utamanya adalah mengusahakan dasar ekonomi yang bertujuan mengurangkan kemiskinan, mengagihkan semula kekayaan ekonomi dan memberi sokongan kepada golongan Bumiputera.

Dasar itu, yang kemudian dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru (NEP), “berusaha untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira etnik dan menyusun semula masyarakat supaya pengenalan etnik dengan fungsi ekonomi dapat dikurangkan”, kata Chandra.

NCC juga mewujudkan Rukun Negara dalam usaha menjalin perpaduan antara rakyat Malaysia demi kejayaan dan kestabilan negara. Ia adalah senarai lima prinsip dan lima cita-cita negara dan kekal menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan sehingga hari ini.

Adakah MAGERAN perlu ditubuhkan semula?

Menurut Chandra, ia tidak perlu kerana keadaan sekarang berbeza walaupun terdapat perisytiharan baharu darurat.

Katanya, darurat pada 1969 diisytiharkan atas alasan keselamatan dan MAGERAN diperlukan untuk memulihkan kedaulatan undang-undang dan mengelakkan insiden kekerasan yang berlaku daripada menjadi semakin teruk.

“Sebab utama MAGERAN sangat diperlukan adalah untuk menangani rusuhan yang tercetus,” katanya. “Kita memerlukan sebuah badan yang boleh menangani situasi keselamatan, keganasan, pembunuhan dan sebagainya.

“Dalam keadaan darurat yang diisytiharkan Januari lalu, ia jelas adalah darurat kesihatan.”

Selain itu katanya, tiada Kabinet yang berfungsi selama rusuhan kerana pilihan raya umum baharu saja selesai. Ini mendesak agar bentuk tertentu badan pemerintahan segera dibentuk.

Beliau berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kini sudah mempunyai Jemaah Menteri.

Dalam pada itu Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah akan terus bertemu pemimpin parti politik hari ini sebelum mempengerusikan mesyuarat khas dengan Raja-raja Melayu Rabu depan bagi membincangkan isu berkaitan perintah darurat dan usaha memerangi wabak Covid-19.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Nasional

Kongsikan Artikel Ini Pemimpin Umno menggunakan kiasan tiang gol bola sepak untuk mengecam Menteri Undang-Undang Takyuddin Hassan. Ini selepas Takiyuddin menegaskan bahawa kabinet tidak...

Nasional

Kongsikan Artikel IniAhli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin mempersoalkan mengapa majikan perlu menampung kos pentadbiran dan tempat untuk vaksin Covid-19. Dia berkata kerajaan telah...

Nasional

Kongsikan Artikel IniKUALA LUMPUR, 13 Jun – Perang antara dua pemimpin daripada Umno dan Pas nampaknya berterusan seolah perdana menteri kerajaan haram, Muhyiddin Yassin...

Nasional

Kongsikan Artikel Ini Kenyataan Menteri Undang-Undang, Takiyuddin Hassan bahawa jemaah menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong sama ada proklamasi darurat perlu dilanjutkan atau tidak adalah...

Copyright © 2021 Media Rania