Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Pendapat

Politik kebencian

Kongsikan Artikel Ini

Maya Angelou, seorang sasterawan dan pejuang hak asasi manusia Amerika, pernah berkata, “Kebencian telah menyebabkan pelbagai masalah di dunia ini, tetapi sehingga kini ia tidak berjaya menyelesaikan sebarang masalah”.

Namun, politik kebencian adalah suatu yang menguntungkan bagi setengah golongan. Inilah sebabnya politik kebencian merupakan asas dalam pendekatan berpolitik Trump di Amerika, Modi di India, Johnson di UK, Bolsanaro di Brazil dan di Israel.

Minggu ini kita dikejutkan dengan pembunuhan empat ahli keluarga beragama Islam di Kanada. Polis Kanada menyifatkan peristiwa ini sebagai jenayah kebencian. Pada bulan ini juga, kita mendengar mengenai politik kebencian di atas nama agama telah menyebabkan pembunuhan beramai-ramai di Burkina Faso dan di Nigeria.

Politik kebencian mempunyai berbagai-bagai manifestasi. Adakalanya ia dalam bentuk politik perkauman, adakalanya ia menggunakan sentimen keagamaan, adakalanya dalam bentuk semangat kebangsaan dan adakalanya ia merupakan gabungan dari sentimen-sentimen ini.

Kemuncak politik kebencian ialah ia menghasilkan keganasan yang boleh menyebabkan berbagai tragedi. Bila api kebencian dinyalakan ia mudah menyemarak dan sukar di kawal.

Politik kebencian laris kerana ada segolongan ahli politik yang ketandusan idea-idea. Mereka tidak tahu bagaimana membina masa depan yang lebih baik atau menyatukan masyarakat. Proses membina perpaduan dan membangunkan masyarakat perlu didasarkan pada idea-idea yang positif dan program-program yang mantap.

Namun, tidak semua ahli politik mampu berfikir pada tahap ini. Sebaliknya, mereka ini mendapati lebih mudah melaga-lagakan masyarakat dan menyemai kebencian serta permusuhan. Politik kebencian adalah jalan mudah untuk mendapatkan sokongan.

Malangnya, ramai manusia mudah takut kepada apa yang mereka tidak fahami dan tidak dapat kuasai. Apabila ketakutan ini digabungkan dengan kebencian ia menjadi ombak yang boleh menyebabkan kemusnahan. Politik kebencian adalah ibarat candu yang mengkhayalkan mereka yang berpegang pada kefahaman ini.

Ia sedikit pun tidak membina keupayaan mereka yang merasa diri mereka terancam untuk mengatasi kelemahan dan kemunduran mereka. Malahan, mereka ini sering merasakan diri mereka lebih mulia dari sasaran kebencian mereka walaupun terdapat pelbagai kepincangan, kelemahan dan kefasadan pada diri mereka.

Kajian mengenai kebencian mendapati membenci ialah satu fenomena yang berbeza dari kemarahan atau sikap tidak menyukai sesuatu. Tidak menyukai sesuatu adalah sentimen yang pasif. Kita akan cuba mengelak sesuatu yang tidak disukai. Kebencian adalah emosi aktif dan mendorong orang yang membenci untuk melakukan sesuatu kepada sasaran kebencian mereka.

Kemarahan sementara tapi kebencian kekal

Aristotle berpendapat kemarahan adalah suatu yang sementara dan orang yang marah lazimnya akan merasa kekesalan selepas kemarahannya telah reda. Kebencian pula lebih kekal dan tidak akan reda selagi mana sasaran kebencian itu tidak dihapuskan. Orang yang membenci akan melihat sasaran kebencian mereka sebagai golongan yang cacat moral dan memandang rendah kepada golongan ini.

Imam Ghazali menyatakan bahawa kebencian menghasilkan lapan natijah iaitu i) perasaan dengki ii) bergembira dengan niat jahat iii) lidah yang mudah mengeluarkan kata-kata keji iv) memandang rendah sasaran kebencian v) suka mengata dan mencaci sasaran kebencian vi) meremeh dan memperlekeh sasaran kebencian vii) cenderung untuk mendatangkan bahaya kepada sasaran kebencian jika wujud kesempatan melakukkannya viii) menafikan sasaran kebencian hak mereka, tidak melindungi mereka dari penindasan dan tidak meminta maaf dari mereka.

Huraian di atas menunjukkan bahawa kebencian ialah satu fenomena negatif yang amat menguasai minda dan tindak-tanduk seseorang. Akibatnya, tumpuan pemikiran orang yang didorongi kebencian ialah bagaimana memusnahkan dan menjatuhkan golongan yang mereka benci. Obsesi ini menyebabkan pemikiran mereka kurang mempunyai ruang kognitif untuk berfikir secara positif dan membina.

Sebagai contoh, orang yang obsesinya ialah mencari kesalahan orang lain akan mempunyai ruang kognitif yang berbatas untuk memikirkan mengenai bagaimana mengatasi kelemahan diri atau melihat kebaikan orang lain. Demikian juga, orang yang obsesinya ialah memikirkan bagaimana memenuhi kehendaknya secara percuma (sebagai contoh, melalui rasuah) akan mempunyai ruang kognitif yang berbatas untuk memikirkan mengenai ikhtiar dan ketekunan.

Oleh sebab inilah, pemimpin-pemimpin yang menggunakan politik kebencian umumnya tidak menunjukkan prestasi yang baik. Petanda utama yang boleh dilihat ialah kegagalan Trump, Modi, Johnson dan Bolsanaro menganggani wabak Covid-19. Bila berdepan dengan cabaran yang getir yang memerlukan kepimpinan yang cekap dan berwibawa kesemua mereka ini gagal.

Sebaliknya, di sebalik politik kebencian mereka ialah minda yang kosong yang tidak mampu menyelesaikan krisis negara yang meruncing dan membina suatu yang lebih baik. Mereka mahukan kekuasaan tetapi tidak mampu memikul amanah. Banyak dari janji-janji mereka untuk “menyelamatkan” negara mereka hanya menjadi janji kosong. Malahan, walaupun menjadi pemimpin negara, mereka terus dengan pendekatan menggunakan kebencian dan melaga-lagakan rakyat.

Dan kerajaan-kerajaan yang dibina melalui kebencian bukan sahaja tidak cekap, mereka juga sukar menerima teguran dan maklum balas. Minda kebencian mereka membuat mereka menganggap sesiapa yang menegur atau berbeza pendapatan dengan mereka sebagai musuh. Mereka tidak berupaya mengalih pemikiran mereka dari paradigma antagonistik ini.

Akibatnya, pemerintahan yang dibina melalui kebencian lebih merupakan bala kepada negara-negara mereka. Adakah ini juga keadaan di sini? Kita boleh menggunakan lapan natijah yang disebut Imam Al Ghazali tadi sebagai senarai semak untuk menilai keadaan di negara kita.

Mungkin ada pembaca akan tertanya mengapa penulis memulakan karya ini dengan kata-kata dari Maya Angelou dan tidak menyebut sebarang ayat al-Quran dan hadith.

Tujuan penulis ialah untuk merangsang pembaca merenung, jika seorang sasterawan seperti Angelou yang tidak berpegang pada al-Quran dan hadith dapat memikirkan mengenai bahaya kebencian, sudah tentu mereka yang berpegang pada al-Quran dan hadith lebih dapat memahami isu ini dengan mendalam.

Malahan, mereka seharusnya di hadapan dalam menentang politik kebencian dan mendukung rahmatan lil `alamin. Atau adakah ini andaian yang salah?

Dr Rozhan Othman

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Pendapat

Kongsikan Artikel Ini nak buat macamana… depa lanie bercakap dalam mulut ada dedak sagon taik ayam… tuu yg bunyi lain dah skrg nie…. ujian...

Pendapat

Kongsikan Artikel IniSetakat semalam, 13 Jun 2021, kes Covid19 di negara kita sudah mencecah angka 657,508 dan jumlah kematian pula seramai 3,908 orang. Semalam...

Pendapat

Kongsikan Artikel IniDi samping dibelenggu oleh pentadbiran kerajaan yang gagal sehingga hampir semua perkara dalam negara jadi celaru dan haru-biru, kita juga sebenarnya berdepan...

Pendapat

Kongsikan Artikel IniKurang kepercayaan terhadap institusi negara membawa “kemudaratan besar” ketika pandemik, termasuk sains “tidak dapat menyaingi ” kepercayaan tahyul dan teori konspirasi, kata...

Copyright © 2021 Media Rania