Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Pendapat

Pasir Salak – Lambang Kebangkitan Apa?

Kongsikan Artikel Ini

Orang ‘perasan’ Prasarana sudah dipecat sebagai pengerusi syarikat GLC itu. Tapi ceritanya belum tamat. Drama Tajuddin Rahman ini cuma gejala kecil dalam penyakit yang lebih parah.

Dia ahli parlimen Pasir Salak. Inilah tempat bersejarah Perak di mana “orang jahat” Residen British JWW Birch dibunuh oleh “panglima berani” Maharaja Lela pada tahun 1875. Ia tempat nasionalisme Melayu yang “murni” berlawan dengan penjajahan British yang “jelik”. Itulah sebabnya, beberapa “Birch Road” di Kuala Lumpur, Ipoh, Taiping dan bandar lain ditukar namanya menjadi Jalan Maharaja Lela.

Pasir Salak sepatutnya mencerminkan semangat berani mencabar kuasa orang yang merampas hak orang tempatan. Inilah tempat bangkitnya bangsa yang berdikari, perjuangan keramat yang kini kononnya diambil alih oleh Umno. Tapi semangat apakah yang ditampilkan oleh wakilnya si Tajuddin?

JWW Birch

Adakah dia mencabar orang berkuasa bila melakukan kesalahan? Tidak, sebaliknya dia lebih gemar menyanjung kebijaksanaan dan kebesaran Najib Razak dahulu, walaupun skandal 1MDB sudah terkenal di seluruh dunia.

Bagaimana pula perangainya terhadap orang yang kurang berkuasa? Semasa sidang media bencana LRT baru-baru ini, perwira Pasir Salak ini cuba menakut-nakutkan wartawan yang hendak mencari kebenaran, dengan memberi amaran jangan cuba nak “probok-probok” bila ditanya soalan yang sedikit mencabar.

“Urusan syarikat” peribadi dan “suntikan vaksin kedua” Tajuddin lebih penting daripada musibah yang melanda negara. Yang paling menakjubkan, dia berlawak bahawa dua LRT “bercium” ketika begitu ramai yang tercedera, bahkan ada yang parah. Kalau di negara Jepun, bila ada kemalangan kereta api, seluruh pihak pengurusan termasuk ketuanya akan tunduk dan meminta maaf dengan begitu rendah hati.

Apakah tiada orang lain yang lebih berupaya memegang jawatan ini? Semasa Pakatan Harapan menjadi kerajaan, bekas ketua hakim Malaya Zaharah Ibrahim dilantik menjadi pengerusi Prasarana. Rasanya, sudah tentu dia mampu menangani krisis LRT ini dengan lebih profesional?

Senarai kontroversi

Lama sebelum sidang media yang kaget itu, Tajuddin memang sudah terkenal dengan telatah yang kurang disenangi masyarakat.

1) Dia dipecat daripada Umno pada tahun 1995 kerana politik wang sehingga mendapat gelaran “Six Million Dollar Man”. Tetapi selepas tiga tahun, dia diterima kembali dalam parti dan menjadi ketua bahagian Pasir Salak pada tahun 2004.

2) Ahli parlimen DAP M Kulasegaran melaporkan kepada Dewan Rakyat pada tahun 2010 bahawa Tajuddin mengugut untuk “hantar orang” untuk membelasahnya. Ini susulan marah dengan tulisan dalam blognya bahawa Tajuddin “tidak bertamadun”.

3) Pada tahun 2013, ahli parlimen PKR Rafizi Ramli mendakwa Tajuddin menaikkan harga pembinaan kampus UiTM Tapah, Perak, kepada RM1.3 bilion demi mendapat untung atas angin. Sebagai SOP Umno, dia juga didakwa memperalatkan syarikat yang tiada kepakaran dalam bidang pembinaan. Tajuddin, yang menjadi pengerusi Felcra ketika itu, meraung-raung untuk menyaman Rafizi tapi tiada apa-apa tindakan lanjut.

4) Pada tahun 2015, “hulubalang” Umno, Jamal Yunos, mengancam akan merempuh ‘Chinatown’ Jalan Petaling, Kuala Lumpur, dengan pasukan baju merahnya. Sebagai menyokong Jamal, Tajuddin berkata dia akan “melempang” orang Cina sekiranya mereka mengadu masalah mereka di luar negara.

5) Budi bahasa Tajuddin nampak begitu “halus” pada tahun 2016 bila memperlekehkan Teresa Kok sebagai satu-satunya ahli parlimen wanita di Parlimen yang mempunyai “Kok”, yang mirip dengan istilah bagi alat kelamin lelaki dalam bahasa Inggeris.

6) Ahli parlimen Amanah Khalid Samad mempertahankan Teresa Kok dan memanggil Tajuddin sebagai “sial” dalam Dewan Rakyat. Selepas itu, sekumpulan orang, termasuk anak Tajuddin, didakwa cuba menyerang Khalid di tempat letak kereta parlimen sambil melaungkan “Hidup Pasir Salak!”

7) Tajuddin mempamerkan rasa dengkinya pada tahun 2018, dengan memarahi wartawan kerana gemar membuat wawancara dengan pemimpin “muda” Khairy Jamaluddin yang “tak tahu sejarah” dan mengabaikan pemimpin “berpengalaman” — iaitu dirinya sendiri.

8) Pada tahun 2019, dia menghina abu suci Hindu pada dahi ahli parlimen DAP RSN Rayer sebagai abu mayat pemimpin komunis Chin Peng.

9) Sebanyak 17 kontraktor dan perunding dalam projek LRT3 meminta bantuan kerajaan pada Dis 2020 kerana bayaran RM700 juta untuk kerja yang sudah disiapkan ditahan Prasarana. Ini kerana Tajudin, selepas menjadi pengerusi Prasarana pada Mei 2020, dikatakan mahu terlibat dalam pelantikan subkontraktor untuk projek itu walaupun pembinaan sudah berjalan sejak tahun 2015.

Budaya ‘orang kuat’ Umno

Jadi jelaslah, si Tajuddin memang ada tabiat melemparkan pelbagai provokasi. Tapi akhirnya senjata memakan tuannya bila dia sendiri dipecat daripada jawatannya selepas menonjolkan perangai yang kasar dan kurang prihatin.

Soalan yang lebih penting: kenapakah dia dipilih menjadi pengerusi Prasarana walaupun tingkah lakunya itu sudah pun diketahui? Apakah kerajaan pintu belakang begitu terdesak mencari sokongan dan bersedia tangkap muat sesiapa sahaja ke dalam gerombolan mereka?

“Bossku” yang tidak tahu malu, Najib Razak, cuba pula meredakan gelora kegusaran orang ramai, dengan mengumumkan dia sudah membisikkan “nasihat” kepada perwira Pasir Salak supaya meminta maaf.

Tetapi bekas presiden Umno ini mungkin kena jelaskan adakah dia pernah menegur ‘macainya’ secara terbuka? Atau adakah Bossku membenarkan, bahkan menggalakkan, kelakuan provokasi berulang-ulang kerana serasi dengan agenda politik Umno?

Dan kenapa pula orang Pasir Salak terus menyokong dan mengundi Tajuddin? Adakah dia mencerminkan nilai budaya Melayu yang mulia — sopan santun, budi bahasa adab tertib? Adakah dia lambang kebanggaan negara?

Mungkin tidak. Sebaliknya, Tajuddin menggambarkan budaya warlord atau ‘orang kuat’ Umno yang sombong. Budaya inilah yang akan membinasakan Umno dan bangsa, seperti kata Mahathir Mohamad pada tahun 2014.

Misalnya Umno Selangor ( ketika itu) tidak mampu menampilkan sebarang calon menteri besar yang berkebolehan — walaupun negeri itu penuh dengan orang Melayu yang mempunyai pendidikan dan kemahiran yang tinggi. Sebabnya, kata doktor politik ini, mereka yang berkebolehan tidak “dibenarkan” bangkit dalam parti.

Tetapi Tajuddin ada “kemahiran” yang tersendiri. Siri provokasinya berjaya mencipta “musuh” baru untuk menutup kekurangan akhlak dan ilmu. Maka British digantikan dengan DAP dan Birch ditukar kepada Lim Guan Eng. Rakan-rakan yang sewaktu dengan DAP, seperti Khalid Samad, turut juga diserang.

Saya rasa kalau Pakatan masih menerajui kerajaan, pihak Umno dan puak-puak “pembela bangsa” akan berjerit-jerit untuk memecat Anthony Loke sebagai menteri pengangkutan. Tetapi bagi Wee Ka Siong pula, puak-puak itu senyap seribu bahasa. Yang menjadi kambing hitam adalah seorang pemandu LRT, bukan sistem canggih yang harganya berjuta-juta.

Selepas 64 tahun merdeka, mungkin sudah tiba masanya untuk menatap kembali sejarah Birch dan Maharaja Lela. Ya, British masuk campur tangan di Perak demi mencari keuntungan kerana perang saudara antara bangsawan tempatan mengganggu perlombongan bijih timah.

Birch juga dikatakan “biadap” kerana cuba membendung hak pembesar untuk mengutip cukai dan menyimpan hamba abdi (zaman dulu, orang Melayu pernah jual Orang Asli sebagai hamba?). Tapi apakah yang sebenarnya diperjuangkan oleh Maharaja Lela? Hak untuk mendapat kekayaan (yang dipanggil cukai) daripada rakyat jelata yang bertungkus-lumus sedangkan mereka sendiri tak payah bekerja? Hak untuk menyimpan hamba abdi?

Adakah “misi dan visi” Maharaja Lela itu pembebasan orang Melayu bawahan? Atau mengekalkan hak istimewa para bangsawan? Inilah yang dipanggil sistem feudal, iaitu fahaman “dua darjat” lama sebelum orang kayangan kini begitu mudah terlepas hukuman bila mengingkari PKP. Mungkin inilah sebabnya perkataan “bermaharajalela” itu sendiri bermaksud “tindas menindas sesuka hati”.

Dan bagaimana pula dengan bangsawan feudal zaman kita, iaitu para politikus? Adakah mereka kuat “berjuang” demi “hak” mendapat untung atas angin dengan melambungkan harga pelbagai kontrak kerajaan? Mempertahankan “hak” mendapat jawatan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) seperti Prasarana? “Hak” untuk menghirup kekayaan daripada badan-badan yang sepatutnya menjaga kepentingan bangsa seperti Felda, Tabung Haji dan Mara?

Dan apakah permusuhan antara Bersatu dan Umno berpunca dari perebutan untuk mendapatkan lebih “hak” bangsawan feudal moden? Adakah ini cara bagi negara melangkah maju?

Jadi gelagat Tajuddin yang menggelisahkan rakyat bukan sesuatu yang terhad kepada perangai dia seorang sahaja. Ia adalah gejala penyakit yang lebih mendalam dan parah. Oleh itu, kita kena tanya, apakah maksud Pasir Salak yang sebenarnya?

ANDREW SIA

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Anak Muda

Kongsikan Artikel IniBINTULU, 19 Jan – Semakin hari kerajaan seumpama gagal mengendalikan negara Malaysia. Apakah itu sudah jelas menunjukkan bahawa kita sanggup berada di...

Pendapat

Kongsikan Artikel IniPENDAPAT, 16 Jan – Ada dua kategori pemimpin atau Perdana Menteri yang perlu, bahkan wajib untuk dijatuhkan. Kategori pertama, Perdana Menteri yang...

Pendapat

Kongsikan Artikel IniJOHOR BAHRU, 16 Jan – Pada Sabtu 15 Januari 2022, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, beliau menerima satu kiriman...

Pendapat

Kongsikan Artikel IniKENYATAAN MEDIA ADAKAH ANDA SUDAH BERTINDAK KE ATAS PENTADBIRAN HARTA PUSAKA ANDA? Mungkin ramai individu yang tidak peka malah tidak mengetahui berkaitan...

Copyright © 2021 Media Rania