Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Nasional

Kerajaan Perlu Jelaskan Kehadiran Pesawat Dan Kapal Israel Di Malaysia

Kongsikan Artikel Ini

1. Insiden pesawat pengintip dan kapal rejim zionis Israel yang berada di Malaysia baru-baru ini menimbulkan banyak kecurigaan dan keresahan.

2. Tatkala Malaysia lantang mengutuk rejim zionis Israel dan menegaskan dasarnya membela hak negara dan rakyat Palestin, mengapa insiden ini berlaku?

3. Dalam pada Israel melabel Malaysia sebagai negara paling tegar menyokong Palestin dalam krisis baru-baru ini antara Palestin dan Israel, mengapa seolah-olah negara tidak berhati-hati dan waspada?

4. Pada 19 Mei lalu, sebuah pesawat prototaip pengintip bernombor pendaftaran 4X-AOO milik Israel telah memasuki ruang udara negara ketika dalam penerbangan yang berlepas dari Male, Republik Maldives ke Singapura dan berlegar selama empat jam sebelum mendarat.

5. Kementerian Pengangkutan telah mengesahkan insiden ini melalui kenyataannya semalam. Menurut kenyataan itu, Malaysia meluluskan mana-mana penerbangan melalui ruang udara mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), selagi tidak mengancam keselamatan serta kedaulatan negara. Pesawat berkenaan tidak dibenarkan mendarat atau berlegar-legar di ruang udara Malaysia, jelas kenyataan itu.

6. Alasan ini amat mencurigakan kerana dua sebab. Pertama, mengapa setelah lebih seminggu baharulah kenyataan ini keluar? Kedua, bukankah menjadi hak negara untuk memberi kebenaran atau menolak permintaan mana-mana pesawat untuk memasuki ruang udara kita, apatah lagi pesawat tersebut ialah pesawat pengintip rejim Israel? Keselamatan dan kedaulatan negara boleh terancam dengan kehadiran pesawat berkenaan. Harus diingat negara Indonesia pernah mengharamkan pesawat Perdana Menteri rejim Israel daripada melalui ruang udaranya untuk ke Sydney, Australia dari Singapura.

7. Di samping itu, ICAO bukan pertubuhan pengawal selia penerbangan antarabangsa dan tidak boleh mengarahkan sekatan, penutupan atau pembukaan ruang udara mana-mana negara. (rujuk laman sesawang mereka: The stipulations ICAO standards contain never supersede the primacy of national regulatory requirements. It is always the local, national regulations which are enforced in, and by, sovereign states, and which must be legally adhered to by air operators making use of applicable airspace and airports… ICAO is therefore not an international aviation regulator, just as INTERPOL is not an international police force. We cannot arbitrarily close or restrict a country’s airspace, shut down routes, or condemn airports or airlines for poor safety performance or customer service).

8. Dalam masa yang lebih kurang sama, maklumat yang diperolehi daripada laman web Syarikat ZIM iaitu sebuah syarikat perkapalan kargo antarabangsa terbesar Israel yang berpangkalan di Haifa, Israel menunjukkan bahawa kapal-kapal yang dikaitkan dengan syarikat berkenaan telah kerap berlabuh di 10 pelabuhan di Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak selewat bulan Mei tahun ini. Kapal-kapal syarikat perkapalan rejim Israel wajar dicegah daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan di Malaysia dan dengan itu menghentikan sebarang perdagangan dengan rejim zionis Israel.

9. Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan rejim Israel. Malaysia juga tidak wajar ada hubungan perdagangan dengan Israel. Malaysia mengutuk dan mengecam tindakan kejam lagi ganas rejim Israel ke atas Palestin.

10. Justeru, Kerajaan Malaysia wajib memberi penjelasan segera kepada kedua-dua insiden ini kerana ia jelas bercanggah dengan dasar luar Malaysia terhadap rejim Israel.

11. Malaysia wajib menunjukkan keseriusannya dengan melakukan semua usaha yang termampu dan dalam kawalannya untuk menamatkan penindasan ke atas rakyat dan negara Palestin oleh pihak rejim zionis Israel yang telah berlaku sejak puluhan tahun.

12. Kerajaan Malaysia wajib menterjemahkan kenyataan dan sikap lantangnya kepada tindakan yang selari.

SYED IBRAHIM SYED NOH
Ahli Parlimen Ledang
Pengerusi Malaysia-Palestine Parliamentary Friendship Group
Ahli Lembaga, Liga Ahli-ahli Parlimen untuk Al-Quds

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Nasional

Kongsikan Artikel IniPUTRAJAYA, 5 Dis – Bermula 1 Januari depan, cabutan khas nombor ramalan dikurangkan kepada lapan kali setahun berbanding 22 kali pada era...

Nasional

Kongsikan Artikel IniPUTRAJAYA, 5 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra di...

Ekonomi

Kongsikan Artikel IniKUALA LUMPUR, 5 Dis – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan tumpuan segera beliau ialah membantu menyediakan Bajet 2023. Katanya, penyediaan belanjawan itu...

Nasional

Kongsikan Artikel IniPUTRAJAYA, 5 Dis – Rafizi Ramli menafikan dakwaan mengugut untuk ‘mencari’ Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki...

Copyright © 2021 Media Rania - LIVE ON NEW SERVER