Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Nasional

Covid-19: Tawaran 2 juta Vaksin Sinovac Tulen, Penderma Nafi Dakwaan ‘Scam’ KJ

Chow Kon Yeow (kiri) menunjukkan surat daripada Kementerian Kesihatan bertarikh 12 Mac yang tidak memberikan kelulusan untuk menerima dua juta dos vaksin Sinovac percuma dari sebuah syarikat swasta.
Kongsikan Artikel Ini

Seorang kakitangan sebuah syarikat swasta di Hong Kong mempertahankan tawaran dua juta dos vaksin Sinovac kepada kerajaan Pulau Pinang adalah tulen.

Yong Chee Kong, 58, berkata tidak adil untuk seorang menteri persekutuan melabelkan tawaran Xintai Enterprise Development Ltd, syarikat pelaburan, sebagai “scam”.

Beliau berkata, majikannya yang berpangkalan di Hong Kong meminta beliau menulis surat kepada kerajaan Pulau Pinang untuk menawarkan vaksin itu, selepas surat mereka kepada kerajaan Sabah ditolak Kementerian Kesihatan Januari lalu.

“Itu sebabnya saya perlu ke negeri pembangkang,” katanya ketika dihubungi media.

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, tawaran dua juta dos vaksin Sinovac adalah “scam” dan syarikat itu “bogus”.

Khairy berkata, beliau tidak menemui bukti sama ada penderma didakwa “Yong Chee Kong” atau syarikat berpangkalan di Hong Kong yang disebut dalam surat itu, “Xintai Development Enterprise Ltd”, wujud.

Yong berkata, beliau tidak pernah menyatakan dirinya ialah pemilik syarikat itu dan mendakwa syarikat asing itu mempunyai modal berbayar HKD300 juta.

Katanya, Xintai Development Enterprise Ltd yang disebut Khairy tidak sama dengan nama sebenar syarikat itu, Xintai Enterprise Development Ltd.

Disebabkan namanya dipetik menteri itu, beliau kini mendapat perhatian tidak dikehendaki daripada orang ramai.

“Perkara ini dipolitikkan dan ia tidak adil untuk saya. Nama saya muncul dan dikaitkan sebagai ‘scammer’,” katanya yang mempertimbangkan tindakan undang-undang.

“Saya rasa dipermainkan, di mana saya hendak letak air muka saya? Saya tidak merancang masuk berita atau apa-apa seperti itu.

“Tetapi saya tidak bimbang kerana tawaran bos saya untuk menderma vaksin itu tulen. Ia bukannya ‘scam’.”

Katanya, polis turut menghubunginya berhubung perkara itu dan akan menemui mereka esok.

Buat masa ini, Yong, yang mendakwa sudah bekerja untuk Xintai selama 10 tahun, akan menunggu reaksi kerajaan sebelum mengambil tindakan lanjut.

Beliau juga mempertimbang mengadakan sidang media bagi membersihkan namanya, tetapi peguam memintanya ditangguhkan dahulu.

“Saya masih fikir saya patut mengadakan sidang media kerana tidak tahan (cercaan dihadapinya), tetapi tengoklah nanti.”

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Copyright © 2021 Media Rania - LIVE ON NEW SERVER