Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Hiburan

Raya Tiga Beranak Di Ibu Kota – Fazura

Kongsikan Artikel Ini

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Keindahan permai desa dan keriuhan meraikan 1 Syawal bersama keluarga dan sanak-saudara sekadar menjadi memori manis buat pasangan selebriti, Fattah Amin dan isterinya, Nur Fazura.

Jika sebelum ini, mereka berpeluang meraikan Aidilfitri di kampung halaman iaitu di Pekan, Pahang dan Bagan Datoh, Perak serta berhimpun bersama keluarga, untuk kali kedua, Fattah dan Fazura beraya di ibu kota berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Bohonglah andai tiada sekelumit rasa terkilan yang terbit dalam hati mereka. Apatah lagi, ini kali pertama pasangan ini menyambut kehadiran Syawal bersama buah hati pengarang jantung, Nur Fatima Aisya yang menjengah dunia pada Oktober tahun lalu.

Tentunya mereka mahu mengambil kesempatan pada bulan yang mulia ini untuk memperkenalkan si comel kepada sanak-saudara.

Namun, demi keselamatan dan membantu kerajaan mengekang penularan wabak COVID-19, Fazura dan Fattah akur serta sanggup berkorban.

“Pada awalnya, kami teruja meraikan Aidilfitri tahun ini kerana ini adalah sambutan Hari Raya pertama buat Fatima.

“Sejak dia lahir, kami masih belum berpeluang membawa Fatima berjumpa dengan moyangnya di kampung.

“Rasa ralat apabila nenek sebelah Fattah tidak berkesempatan berjumpa cicitnya selepas pergi menghadap Ilahi.

“Sedih apabila mengenangkannya. Lebih membuat saya sedih apabila saya tidak dapat melakukan rutin setiap kali menjelang raya iaitu menziarah kubur Papa.

“Namun apabila fikirkan ini semua adalah demi kebaikan bersama, kami reda.

“Harapannya, semua pihak dapat mematuhi arahan dan menjaga prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Sama-samalah kita saling menjaga antara satu sama lain dalam situasi yang cukup getir ini,” kata Fazura.

Walaupun tidak dapat pulang ke kampung, ia bukanlah halangan untuk mereka meraikan hari kemenangan buat umat Islam ini.

Bagi pelakon filem Dendam Pontianak ini, kehadiran Syawal wajib disambut biarpun dalam kesederhanaan.

“Kalau diikutkan, kami tidaklah beriya sangat raya kali ini. Namun, mengenangkan ini adalah Syawal pertama buat Fatima, kenalah buat persiapan serba sedikit.

“Kiranya kami tumpang sekalilah kegembiraan itu.

“Baju untuk Fatima sebenarnya ada banyak termasuk pemberian rakan-rakan. Cuma untuk dipakai pada pagi raya, kenalah ada yang baharu.

“Disebabkan ramai rakan-rakan pereka fesyen berminat membuatkan baju, saya tempahlah.

“Tahun ini, kami sepakat memilih warna merah jambu untuk digayakan pada hari raya pertama. Sesuai dengan kehadiran cahaya mata perempuan dalam hidup kami. Nampaknya, Fattah kenalah pakai baju ‘pink’,” katanya.

Dalam situasi pandemik COVID-19, sebagai ibu, Fazura mengaku sedikit sedikit paranoid terutama apabila membawa buah hatinya itu ke kawasan tumpuan ramai.

“Apabila musim perayaan ini, kita tak dapat hendak elak berjumpa ramai orang.

“Biasalah, kalau jumpa bayi, mesti ada yang hendak pegang atau cium.

“Ketika menjalani penggambaran iklan bersama Fatima di Suria KLCC baru-baru ini, terbit juga rasa bimbang.

“Bagaimanapun, saya percaya, ramai yang peka dan sudah sedia maklum dengan amalan norma baharu.

“Mereka faham bayi adalah antara golongan berisiko. Jadi tidak mungkin mereka hendak peluk atau cium Fatima sesuka hati,” katanya berfikiran positif.

Bagi mereka yang merindukan kelibat wajah Fazura di layar perak, saluran penstriman, Netflix menayangkan filem lakonannya pada musim perayaan ini.

Dua filem itu adalah Gol & Gincu dan Pisau Cukur yang diakui cukup sinonim dengan penyanyi yang popular dengan lagu Sayangi Dirimu ini.

Diminta mengulas perkara itu, Fazura terkejut dan meluahkan rasa seronok kerana dua filem terbabit cukup dekat dengan hatinya, selain menyerlahkan pesona bintangnya dalam dunia perfileman.

“Dua filem ini memang dekat di hati saya kerana kedua-duanya diarahkan oleh sahabat saya, Bernard Chauly.

“Ia bagai mengembalikan semula nostalgia yang berlaku ketika filem itu ditayangkan,” katanya.

Ditanya bila masa yang sesuai untuknya kembali ke gelanggang filem sementelah ramai yang rindu melihat kelibatnya di layar perak, Fazura mengaku agak sukar memberikan jawapan.

“Semestinya fokus saya sekarang adalah keluarga. Namun, pada masa sama, saya perlu utamakan kerjaya seni dan perniagaan.

“Alhamdulillah, perniagaan lancar dan tawaran lakonan sedang dipertimbangkan. Saya masih lagi menunggu watak yang sesuai.

“Tidak mahulah lagi watak cinta tiga segi yang posternya memaparkan wajah dua wanita dan seorang lelaki.

“Ketika ini, saya sangat mendambakan watak yang memperkasakan wanita. Itu lebih sesuai dengan status saya sekarang,” katanya.

Fazura mengaku rindu untuk kembali beraksi di hadapan kamera.

“Mengikut perancangan, tahun ini saya akan kembali ke set penggambaran.

“Namun, ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi. Masa saya tidak lagi seperti dahulu kerana saya tidak biasa tinggalkan Fatima dalam tempoh panjang.

“Pernah berlaku di mana Fattah menghantar rakaman video memaparkan Fatima mencari saya… Rasa sedih pula.

“Lagipun, kalau Fatima tidur, dia tetap mahukan saya berada di sebelahnya,” katanya.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Jangan lupa baca ini...

Antarabangsa

Kongsikan Artikel IniKUALA LUMPUR, 24 Sep – Bintang kontroversi Hollywood, Johnny Depp, 59, kini dilaporkan menjalinkan hubungan cinta bersama bekas peguamnya, Joelle Rich. Mengikut...

Antarabangsa

Kongsikan Artikel IniCHICAGO, 15 Sep – Penyanyi R&B, R Kelly didapati bersalah di mahkamah Chicago semalam atas beberapa tuduhan berkaitan dengan pornografi kanak-kanak. Kelly,...

Hiburan

Kongsikan Artikel IniKUALA LUMPUR, 14 Sep – Penyanyi terkenal era 1980-an, Aman Shah meninggal dunia akibat serangan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) di...

Hiburan

Kongsikan Artikel IniALOR SETAR, 10 Ogos – Gambar wanita yang tular berpakaian mencolok mata pada Kedah Fashion Week 2022 (KFW22) di Aman Central baru-baru...

Copyright © 2021 Media Rania - LIVE ON NEW SERVER