BANGKOK, 8 Mei – Ratusan ribu penuntut dan golongan profesional belia Thailand kini mempertimbangkan untuk berhijrah ke negara lain ekoran kelemahan kerajaannya.
Mereka yang tidak puas hati dengan usaha kerajaan menangani COVID-19 dan kelewatan melaksanakan program vaksinasi, bertindak menubuhkan kumpulan dalam talian bagi membincangkan cara untuk keluar dari negara itu buat selamanya.
Kumpulan Facebook yang dikenali sebagai ‘Migrate’ sudah mengumpulkan lebih 800,000 ahli dalam tempoh kurang seminggu ia dilancarkan.
Kumpulan dalam talian itu menjadi pentas bagi mereka membincangkan cara meninggalkan negara, dengan ahlinya mendapatkan nasihat daripada warga negara itu yang sudah tinggal di luar negara untuk berkongsi nasihat.
Amerika Syarikat (AS), Australia, Jepun, Kanada dan Jerman menduduki negara teratas senarai destinasi ingin ditujui oleh mereka yang berhasrat memiliki masa depan lebih baik.
Bagaimanapun, jumlah ahli laman Facebook itu hanyalah sekitar 1.3 peratus daripada penduduk Thailand tetapi ia mendapat ‘likes’ sekali ganda berbanding apa yang diterima laman Facebook Kementerian Kesihatan Thailand.
Sebilangan besar perbincangan kumpulan itu menjurus kepada prospek pekerjaan dan kekayaan yang lebih baik ditawarkan oleh negara lain, berbanding dengan peluang yang terhad di Thailand.
Bagi kebanyakan golongan belia, pandemik COVID-19 yang ketika ini memasuki gelombang ketiga dan terburuk di Thailand sejak wabak itu bermula, bimbang apabila program vaksinasi bermula perlahan.
Ia turut menimbulkan kemarahan mereka terhadap kerajaan ditadbir golongan yang sebelum ini menolak permintaan mereka untuk pindaan Perlembagaan dan reformasi monarki.
Ini mendorong golongan belia Thailand berada di barisan hadapan dalam demonstrasi jalanan sejak tahun lalu.
Mereka menggunakan pentas dalam talian seperti aplikasi perbualan audio Facebook, Twitter dan Clubhouse susulan larangan mengadakan perhimpunan awam besar-besaran disebabkan pandemik COVID-19. – AGENSI