Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Antarabangsa

Bayar Cukai Harta Pusaka AS$10.8 Bilion

Kongsikan Artikel Ini

SEOUL, 29 April – Keluarga mendiang Pengerusi Samsung Electro­nics, Lee Kun-hee memberitahu, mereka akan membayar lebih 12 trilion won (AS$10.8 bilion (RM44.296 bilion)) cukai harta pusaka dan mendermakan koleksi seni peribadi mendiang kepada muzium negara.

Kun-hee yang berjaya meng­angkat Samsung sebagai pengeluar telefon pintar dan cip memori terbesar dunia, mening­gal pada 25 Oktober tahun lalu, dilaporkan memiliki kekayaan bernilai kira-kira 26 trilion won (RM96.2 bilion).

Keluarga mendiang yang menanggung bil cukai harta pusaka, antara terbesar dalam sejarah Korea dan dunia, memantau secara dekat perkara tersebut kerana ia boleh menjejaskan pegangan saham mereka di dalam Samsung.

Bagaimanapun, terdapat ge­saan dalam kalangan masyarakat supaya koleksi se­ni peribadi mendiang antaranya karya Picasso, Monet dan Chagall, dianggarkan bernilai AS$1.76 bilion (RM7.22 bilion) kekal di Korea Selatan.

Dilaporkan, keluarga mendiang berhasrat untuk mendermakan sebahagian besar hasil jualan koleksi berkenaan dalam usaha membaiki imej mendiang atas dakwaan mengelak cukai dan pelbagai tuduhan lain, sedekad lalu.

Mereka dilaporkan meran­cang untuk membayar cukai ber­kenaan secara ansuran da­lam tempoh lima hingga enam tahun, bermula bulan ini.

Saham Samsung C&T susut sebanyak 5.5 peratus. Setakat ini, tiada sebarang kenyataan mengenai bagaimana sama-saham mendiang akan diagihkan, sekiranya saham tersebut dijual dan bagaimana keluarga mendiang mendapat dana untuk membayar cukai berkenaan.

“Terdapat kekecewaan dalam kalangan pelabur kerana tiada maklumat lanjut bagaimana saham-saham mendiang akan diagihkan,” kata Penganalisis di HI Investmen & Securities, Lee Sang-hun.

Para pelabur sebaliknya perlu menunggu pihak berkuasa mengemulakan permohonan mengenai perubahan pega­ngan saham oleh anak mendiang yang juga Naib Pengerusi Samsung Electronic, Jay Y. Lee atau lain-lain ahli keluarganya.

Difahamkan, keluarga mendiang sedang berunding untuk menggunakan saham-saham dalam syarikat bersekutu atau mendapatkan pinjaman periba­di bagi membayar cukai berke­naan, berbanding menjual pe­gangan mereka di dalam Samsung, lapor Reuters memetik sumber.

Penganalisis berpendapat, keluarga mendiang kemungkinan menggunakan pinjaman atau dividen mereka dan mendiang untuk membayar cukai berkenaan.

Pegangan saham mendiang termasuk 4.18 peratus di dalam Samsung Electronis, 0.08 peratus saham utama, 20.76 peratus di dalam Samsung Life Insurance, 2.88 peratus dalam Samsung C&T dan 0.01 peratus dalam Samsung SDS. – AGENSI

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Jangan lupa baca ini...

Copyright © 2021 Media Rania - LIVE ON NEW SERVER