Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Nasional

SOP: Dikompaun RM50,000, Peniaga Colek Akui Tidak Mungkin Mampu Bayar Walau Diberi Pengurangan

Kongsikan Artikel Ini
Selepas kecoh peniaga burger dikompaun RM50,000 di sebuah kampung di sini, pada Ahad malam, seorang lagi peniaga colek di Kampung Chekok Tengah di sini, mendedahkan turut menerima nasib sama.
Mohd Azizi Mohd Nor, 42, yang berniaga di hadapan rumahnya pada sebelah malam pada bulan Ramadan dengan konsep bungkus dan bawa pulang, mendakwa didatangi beberapa anggota polis pada jam 11.20 malam Ahad.
“Dengan jumlah itu, memang kami tak mampu bayar… Kalau diberi pengurangan sehingga 80 peratus pun kami takkan mampu bayar,” katanya.
Menceritakan lanjut, Mohd Azizi mendakwa, dia dan isterinya sudahpun menutup kedai pada jam 10 malam, malah sebahagian lampu juga sudah dipadamkan sebelum ketibaan anggota polis terbabit.
Katanya, hanya lampu bahagian dapur belum dipadam kerana mereka sedang mengemas sambil dia menggoreng keropok untuk anak-anak yang belum tidur ketika itu.
Katanya, dia terpaksa membuka kedai pada waktu malam untuk mencari rezeki pada bulan Ramadan disebabkan tidak boleh berniaga menjual mi celup seperti biasa pada waktu siang.
“Inilah cara kami untuk mencari rezeki menyara hidup kami termasuk lima anak yang masih bersekolah, selain tiga anak saudara.
“Bila kena kompaun macam ini, memang kami agak kecewa kerana ini kali pertama saya dikenakan kompaun tetapi sudah terus kena RM50,000,” katanya.
Katanya, dia dan isteri sudah mengemukakan rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah semalam, namun belum dimaklumkan jumlah pengurangan yang akan diberikan.
Kedua-dua mereka berharap ada pihak tampil membantu bagi menyelesaikan kompaun itu kelak.
Sebelum ini, media melaporkan seorang peniaga burger kecewa apabila dikompaun RM50,000 oleh pihak polis kerana kesalahan berniaga melebihi waktu ditetapkan.
Dengan hanya berniaga di hadapan rumahnya Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, didatangi pihak polis ketika sedang menyiapkan pesanan pelanggannya kira-kira jam 11 malam.
Pada Selasa, Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat dilaporkan berkata, pihaknya akan meneliti kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap tiga peniaga termasuk peniaga burger di sini, pada malam Ahad.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Jangan lupa baca ini...

Copyright © 2021 Media Rania - LIVE ON NEW SERVER