Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Komuniti

‘Period Spot Checks’ Langgar Hak, Salah Di Sisi Undang-undang

Kongsikan Artikel Ini
Perbuatan ‘period spot checks’ yang berlaku di sekolah-sekolah awam di Malaysia merupakan pelanggaran terhadap hak kanak-kanak dan menyalahi undang-undang.
Menurut Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal, hal ini kerana wujudnya unsur-unsur gangguan dan penderaan seksual ketika melakukan perbuatan tersebut.
“Selaras dengan Perkara 28 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (UNCRC) yang telah diratifikasi oleh Malaysia pada tahun 1995, adalah wajib untuk memastikan sekolah melaksanakan disiplin selaras dengan hak dan kemuliaan kanak-kanak.
Tambah Noor Aziah, Suhakam mengingatkan Kementerian Pendidikan Malaysia tentang tanggungjawabnya untuk melindungi semua kanak-kanak atau pelajar dari segala bentuk gangguan dan eksploitasi seksual, sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 34 CRC.
Katanya, kementerian diminta untuk mengambil tindakan tegas terhadap guru-guru dan pihak sekolah yang telah melanggar hak dan maruah kanak-kanak sebelum ini.
“Guru yang telah melakukan perbuatan tersebut hendaklah didakwa di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 atau Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Garis panduan mendisplinkan pelajar yang lebih jelas mesti diperkenalkan untuk memastikan tindakan guru yang menyalahguna kuasa tidak berulang,” jelasnya.
Ujar Noor Aziah, semua guru seringkali diingatkan akan tugas mereka sebagai pendidik, dan mereka tidak boleh memberi layanan buruk dan mengganggu pelajar semasa proses pembelajaran dan pengajaran.
“Amat penting bagi Malaysia untuk mewujudkan dan memastikan persekitaran yang lebih selamat untuk generasi masa hadapan kita.
“Suhakam menyeru semua kementerian dan pihak berkepentingan, termasuk ibu bapa dan guru untuk bersama-sama memastikan semua sekolah dan sekolah berasrama penuh seumpamanya, menjadi tempat yang selamat untuk kanak-kanak pada setiap masa,” katanya.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Jangan lupa baca ini...

Copyright © 2021 Media Rania - LIVE ON NEW SERVER