Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Negeri

Geng Apir Akhirnya Tumpas

Kongsikan Artikel Ini

MELAKA, 21 April – Geng Apir yang aktif mencuri motosikal dan menjualnya kepada rakan serta saudara-mara tumpas selepas polis berjaya memberkas sembilan suspek termasuk seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dalam beberapa siri serbuan di sekitar daerah ini, dua minggu lalu.

Kesemua mereka berusia antara 14 hingga 41 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dalam beberapa siri serbuan, pada 8 April lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, serbuan itu dibuat selepas pasukannya berjaya mendapatkan petunjuk hasil laporan dibuat seorang pengadu yang kehilangan motosikal jenis Yamaha RXZ pada pukul 12.10 pagi, hari sama di Kampung Lapan, di sini.

“Bertindak atas maklumat, pasukan JSJ IPD Melaka Tengah dengan bantuan pasukan Balai Polis Malim telah melakukan beberapa siri serbuan Ops Lejang di sekitar Melaka Tengah bermula pukul 1 pagi.

“Hasil serbuan, kita berjaya memberkas lima individu termasuk seorang remaja perempuan berusia 14 tahun iaitu teman wanita kepada dalang kumpulan ini yang dipercayai terlibat dalam kes curi motosikal,” katanya pada sidang akhbar di IPD Melaka Tengah, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, modus operandi kumpulan dikenali sebagai Geng Apir itu adalah menjual motosikal yang dicuri kepada rakan-rakan rapat dan saudara-mara terdekat.

“Dalang kumpulan ini bernama Fakrie yang berusia 23 tahun mengakui telah menjalankan kegiatan tersebut bersama konco yang lain di kawasan Malim, Tengkera dan Batang Tiga, sejak awal tahun ini.

“Dia mendakwa kesemua motosikal dicuri dijualkan kepada rakan dan saudara-mara terdekat bagi mengelak kegiatan dihidu pihak polis,”katanya.

Ujarnya, penahanan kumpulan itu sekali gus berjaya menyelesaikan 14 kes curi motosikal yang dilaporkan berlaku di sekitar daerah ini.

Tambahnya, dalam serbuan dilakukan, pasukannya turut merampas 10 buah motosikal termasuk jenis Yamaha LC, Honda EX5 dan Yamaha RXZ yang dilaporkan hilang di Kampung Lapan serta sebuah kenderaan dengan anggaran keseluruhannya bernilai RM36,000.

Katanya, kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Copyright © 2021 Media Rania - LIVE ON NEW SERVER