Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Nasional

Pas Parti Paling Bahaya Dalam Perikatan Nasional (PN) – Guan Eng

Kongsikan Artikel Ini

MELAKA, 18 April – DAP menyifatkan bekas rakan komponennya dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat iaitu Pas sebagai parti paling berbahaya dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ini kerana hasrat Pas untuk melaksanakan persempadanan semula yang berpihak kepada orang Melayu seandainya menang dua per tiga dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), adalah dasar aparteid yang menafikan hak bukan Islam.

Beliau berkata, tindakan itu juga adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana mengadakan persempadanan kawasan berdasarkan kaum dan agama.

“Parti Pas ini yang paling bahaya, sebab apa kena menang majoriti dua per tiga supaya boleh buat persempadanan semula yang hanya menguntungkan orang Melayu dan orang Islam sahaja. Ini menafikan hak orang bukan Islam.

“Pas bukan macam dulu, di bawah tok guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, mereka sederhana. Mereka terbuka, mereka bantu semua. Sekarang Pas hanya hendak menindas rakyat semata-mata untuk tutup kegagalan mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Biasa DAP Melaka di Taman Kota Laksamana Jaya di sini hari ini.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, parti itu menyasarkan untuk menguasai dua per tiga Dewan Rakyat dalam PRU-15 agar PN dapat melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Menganggap langkah itu untuk menguntungkan umat Islam, beliau menjelaskan, laluan untuk mencapai perkara berkenaan adalah dengan terus memperkukuh muafakat antara tiga parti Melayu, walaupun tugas itu berdepan dengan rintangan.

Dalam pada itu, menyentuh soal tarikh PRU-15, Guan Eng meramalkan proses demokrasi itu akan berjalan pada awal tahun depan sekiranya Proklamasi Darurat yang sepatutnya berakhir Ogos ini tidak dilanjutkan.

Jelasnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka bakal berdepan kesukaran untuk meluluskan Belanjawan 2022 kerana penarikan sokongan oleh UMNO, lantas memaksanya membubarkan Dewan Rakyat.

“Itu sekiranya darurat tidak dilanjutkan, kerana ada ura-ura bahawa berikutan kenaikan kes Covid-19, permohonan akan dibuat untuk melanjutkan darurat. Ini terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Ada kemungkinan besar tidak dilanjutkan kerana tidak berkesan untuk mengurangkan kes Covid-19. Bila darurat tamat kena buka Parlimen dan kita semua tahu Muhyiddin tidak ada majoriti,” katanya.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Jangan lupa baca ini...

Copyright © 2021 Media Rania - LIVE ON NEW SERVER