Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Nasional

Badan Peguam Mohon Mahkamah Isytihar Beberapa Peruntukan Ordinan Darurat Tidak Sah

Kongsikan Artikel Ini

Badan Peguam Malaysia telah memfailkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan bagi membatalkan beberapa bahagian dalam Ordinan Darurat serta agar perdana menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen.

Tindakan undang-undang itu memohon deklarasi beberapa peruntukan yang berkaitan dengan proklamasi darurat, yang menurut badan tersebut terlalu luas dan tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Badan Peguam Malaysia, AG Kalidas berkata tindakan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Ordinan Darurat menyebabkan banyak kuasa diberikan kepada eksekutif, manakala perlindungan perlembagaan seperti semakan dan kebertanggungjawaban Parlimen dikurangkan.

“Dalam apa juga keadaan, rakyat tidak boleh dinafikan perlindungan asas dan perlindungan prosedural seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita,” katanya dalam kenyataan.

Peruntukan yang ingin dibatalkan oleh Badan Peguam Malaysia adalah seperti berikut:

Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021

  • Seksyen 5 – Kuasa mengambil alih sementara tanah, bangunan atau harta alih. Jumlah pampasan tidak boleh dicabar di mahkamah.
  • Seksyen 11 – Cabang eksekutif – di negeri, wilayah dan persekutuan – yang wujud sebelum proklamasi darurat berjalan seperti biasa.
  • Seksyen 14 dan 15 – Seksyen ini berkaitan dengan penggantungan semua badan legislatif – Parlimen dan Dewan Undangan Negeri – ketika darurat berkuat kuasa.
  • Seksyen 18 – Ordinan ini mengatasi undang-undang bertulis lain, jika ada apa-apa percanggahan atau ketidakselarasan antara kedua-duanya.

Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 (berkenaan berita palsu)

  • Seksyen 4 – Hukuman penjara tidak lebih tiga tahun dan denda RM100,000 atau kedua-duanya, atas kesalahan mengadakan, menawarkan dan menyebarkan berita tidak benar yang mungkin menyebabkan ketakutan dan kebimbangan orang awam.
  • Seksyen 24 – Tertuduh perlu menyerahkan pernyataan pembelaan kepada pihak pendakwaan.

Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Pindaan) 2021

  • Seksyen 2 – Peruntukan ini memasukkan dua seksyen baru (10A dan 10B) dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang membenarkan eksekutif – di peringkat persekutuan dan negeri – untuk tidak melalui legislatif dalam soal perbelanjaan.

Belum dapat dipastikan jika Mahkamah Tinggi akan membenarkan tindakan undang-undang ini diteruskan, memandangkan semua ordinan darurat diisytiharkan Agong di bawah Klausa 2, Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Klausa 8 dalam perkara itu dengan jelas menyatakan tiada mahkamah yang mempunyai bidang kuasa terhadap mana-mana ordinan yang diisytihar di bawah Klausa 2B.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Jangan lupa baca ini...

Copyright © 2021 Media Rania - LIVE ON NEW SERVER