Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Antarabangsa

Beijing Perkenal Uniform Baharu Polis Hong Kong

Kongsikan Artikel Ini

HONG KONG, 15 April – Polis Hong Kong menampilkan maskot beruang dan melancarkan perarakan kawad barunya hari ini ketika pusat kewangan itu mengadakan Hari Pendidikan Keselamatan Nasional.

Ia sebahagian usaha bagi menanam semangat patriotisme di bandar berkenaan di bawah pengaruh China.

Beijing bertindak melindungi Hong Kong menerusi pengenalan undang-undang keselamatan negara tahun lalu sebagai tindak balas terhadap protes demokrasi ganas selama berbulan-bulan sehingga menggugat pusat perniagaan antarabangsa itu.

Hari pendidikan pada Khamis itu, pertama kali diadakan sejak penguatkuasaan undang-undang keselamatan berkenaan pada Jun tahun lalu.

Upacara sebelah pagi yang dihadiri oleh pegawai kanan, dengan utusan tertinggi Beijing di Hong Kong, Luo Huining, dalam ucapannya memberi amaran bahawa China bersedia untuk memberi pengajaran kepada pihak asing yang cuba berusaha menjadikan kota itu sebagai ‘catur’.

“Bagi semua perbuatan yang membahayakan keselamatan negara dan kemakmuran serta kestabilan Hong Kong, pihak berkuasa pusat akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Pada 2019, protes besar-besaran di jalanan diadakan bagi menuntut demokrasi, berlangsung selama tujuh bulan berturut-turut dan meletakkan tanggungjawab besar kepada polis untuk mengawal rusuhan terburuk sejak penyerahan kota itu ke China pada 1997.

Pemimpin Beijing menolak gerakan protes itu, menggambarkannya sebagai komplot asing yang berbahaya untuk menghancurkan China.

Sejak itu mereka melakukan tindakan keras terhadap pengkritiknya dan melancarkan kempen rasminya dengan jolokan ‘patriot kuat yang memerintah Hong Kong’ bagi menyekat ketidaksetiaan terhadap Parti Komunis China.

Di bandar berasingan, Kolej Polis Hong Kong mengadakan hari terbukanya di mana petugas memperkenalkan perarakan kawad barunya, gaya sama yang digunakan oleh polis dan tentera di China.

Ia simbolik berakhirnya kolonial Britain di Hong Kong dan pegawai tentera China membantu melatih polis dengan gaya kawad baru.

Di pinggir jalan, orang ramai yang memakai kemeja-t ‘I love polis’ sempat berswafoto dengan maskot beruang yang berpakaian seragam taktikal.

Versi mainan beruang juga dijual dengan harga HK$400 (RM214) serta mainan plastik pegawai polis memegang bendera. – AFP

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Jangan lupa baca ini...

Copyright © 2021 Media Rania - LIVE ON NEW SERVER