Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Negeri

Penjara Lapan Bulan Pukul Isteri Guna Wayar Pengecas Telefon

Kongsikan Artikel Ini

PETALING JAYA, 13 April – Akibat memukul isteri menggunakan wayar pengecas telefon bimbit, seorang penganggur dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah menjatuhkan hukuman itu terhadap warga Pakistan, Mohamad Irfan, 28, yang mengaku bersalah mendatangkan kecederaan ke atas isterinya yang merupakan warga India, Gurpreet Kaur, 25, dengan cara memukul belakang badan wanita itu menggunakan wayar pengecas telefon bimbit.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumah mereka di Jalan Bandar Puteri, Puchong, di sini, pada 11 malam, 25 Sept 2020 mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Mahkamah turut memerintahkan Mohamad Irfan, yang sebelum ini bekerja sebagai pemasang kipas siling, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 26 Sept 2020.

Mengikut fakta kes, pada 26 Sept tahun lalu, isteri tertuduh membuat laporan polis apabila beliau dikunci di luar rumah bersama anak lelaki mereka selepas wanita itu dipukul di bahagian belakang badan dan kaki menggunakan wayar pengecas telefon bimbit.

Lelaki itu kemudiannya ditahan oleh pihak polis di tempat kejadian sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat memohon hukuman berat mengambil kira faktor kecederaan dialami mangsa adalah serius namun peguam, Ammanjeet Singh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama pada masa akan datang.

— BERNAMA

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Jangan lupa baca ini...

Copyright © 2021 Media Rania - LIVE ON NEW SERVER