Agama

Yadim Perlu Dana RM50 Juta Setahun Untuk Kerja Dakwah – YDP

Kongsikan Artikel Ini
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) memerlukan dana RM50 juta setahun bagi mengaktifkan gerak kerja dakwah dalam pelbagai lapangan, kata Yang Dipertua Yadim Nasrudin Hassan.

Beliau berkata berdasarkan tahun-tahun sebelumnya, purata dana sumbangan yang diterima Yadim hanya kira-kira RM20 juta.

“Kita perlukan lebih dana untuk bergerak lebih aktif kerana sasaran dakwah kita ada pelbagai segmen seperti penduduk di Sabah, Sarawak, Orang Asli dan asnaf selain turut menyantuni mangsa-mangsa bencana alam.

“Selain menyampaikan dakwah melalui majlis ilmu, tazkirah, street dakwah dan sebagainya, kita juga memerlukan peruntukan untuk program-program melatih pendakwah baharu dan penyebaran risalah tentang Islam kepada masyarakat,” katanya kepada media selepas majlis menandatangani perjanjian usaha sama antara Yadim dan MobilityOne Sdn Bhd, di Putrajaya hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MobilityOne Datuk Hussian A Rahman berkata kerjasama dengan Yadim itu akan memudahkan penderma menggunakan pelbagai saluran pembayaran digital untuk menderma kepada badan berkenaan.

Beliau berkata antara saluran yang telah dikenal pasti ialah pembayaran tanpa tunai melalui terminal e-pos MobilityOne, pembayaran dalam talian melalui portal rasmi Yadim dan melalui saluran aplikasi mudah alih.

“Kita jangka tiga bulan daripada sekarang, sistem pembayaran infaq untuk Yadim yang dibangunkan oleh syarikat kami akan mula beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menyaksikan pemeteraian perjanjian berkenaan dalam ucapan ringkasnya berharap agar usaha sama itu akan menjadikan Yadim lebih gah dan mudah menyampaikan dakwah dalam pelbagai cara.

– Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Copyright © 2021 Media Rania

Exit mobile version