Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Ekonomi

Permasalahan Golongan Graduan Dan Pekerja Tidak Dapat Diselesaikan Sekiranya Menteri Gagal Memahami Realiti Sebenar..!

Kongsikan Artikel Ini

1. Gesaan YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) agar graduan bersyukur walau bergaji rendah dilihat begitu mengecewakan dan menyimpang dari persoalan pokok yang perlu beliau jawab.

2. Kenyataan beliau seperti selari dengan reaksi YB Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia pada Ogos 2020 yang menyeru supaya pekerja menerima kerja gaji rendah daripada tiada kerja langsung dan mengulanginya sekali lagi baru-baru ini agar graduan terima tawaran gaji sedia ada daripada menjadi penganggur dengan merujuk isu tawaran gaji rendah kepada graduan.

3. Kenyataan yang memperlekeh graduan dan golongan pekerja ini memberi gambaran kegagalan Menteri untuk memahami realiti sebenar permasalahan dikalangan graduan hari ini. Maka tidak hairanlah ekonomi Malaysia kini berhadapan dengan kelembapan ketara dan gagal berada di atas landasan sepatutnya sewaktu fasa pemulihan ekonomi.

4. Fakta kegagalan pengurusan ekonomi Malaysia disokong dengan kemerosotan mendadak Pelaburan Langsung Asing (FDI) sehingga 68 peratus, penguncupan KDNK bagi tahun 2020 yang menyusut kepada -5.6 peratus serta peningkatan pengangguran sehingga 772,900 orang dengan kadar 4.8 peratus pada Disember 2020 walaupun Program Pengekalan Pekerjaan dan Program Subsidi Upah telah diperkenalkan.

5. Kini ditambah pula dengan kenyataan culas Menteri seolah-olah merestui tindakan sesetengah majikan yang memanipulasi keadaan dengan membuang pekerja sedia ada yang sudah berpengalaman dan mengambil graduan sebagai pekerja baru dengan menawarkan gaji jauh lebih rendah. Bukan itu sahaja, ini turut menjadi faktor yang menjejaskan peratusan peningkatan gaji tahunan pekerja-pekerja di Malaysia.

6. Walaupun Rancangan Malaysia ke-12 masih gagal dibentang, namun Menteri masih perlu bertanggungjawab dengan menjelaskan kepada rakyat terutama golongan graduan berkenaan dengan strategi dan pendekatan yang kerajaan usahakan bagi mengekang manipulasi ini serta meneruskan usaha untuk meningkatkan gaji minima di Malaysia.

7. Disamping itu, situasi ini juga akan menjejaskan usaha Malaysia dalam mengekang fenomena brain drain (penghijrahan cerdik pandai Malaysia bekerja di luar negara) yang menurut firma pengurusan pelaburan global, Schroders sebagai antara punca permasalahan ekonomi Malaysia. Ini sudah pasti akan memberi kesan besar terhadap masa depan Malaysia sekiranya fenomena ini tidak dapat dibendung akibat kegagalan polisi kerajaan.

8. Menteri-menteri Perikatan Nasional perlu lebih peka menyelami permasalahan rakyat dan hentikanlah daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan berterusan yang memperlekeh dan menyalahkan rakyat yang mendambakan pembelaan.

Sekian.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

SYUKRI RAZAB
Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Jangan lupa baca ini...

Copyright © 2021 Media Rania - LIVE ON NEW SERVER