Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Nasional

Tengku Permaisuri Selangor Sampaikan Berita RTM Malam Tadi

Kongsikan Artikel Ini

KUALA LUMPUR, 2 April – Istimewa sekali ulang tahun sambutan ulang tahun ke-75 Radio Televisyen Malaysia (RTM), apabila Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli menerima undangan istimewa RTM, menyampaikan berita secara langsung dalam slot Berita Perdana pada jam 8 malam, malam tadi.

Istana Selangor dalam satu hantaran di laman Facebook ‘Selangor Royal Office’ hari ini menyatakan, penyampaian berita oleh Tengku Permaisuri Norashikin itu diadakan di Studio Wisma Berita, Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Menurut Istana Selangor, kali terakhir Tengku Permaisuri Selangor ke udara adalah lima tahun lepas, iaitu pada 31 Ogos 2016 dan ini merupakan kemunculan julung-julung kali baginda di RTM sebagai pembaca berita.

“Baginda telah bertugas sebagai pembaca berita di RTM selama 20 tahun bermula pada tahun 1996.

“Sepanjang Tengku Permasuri Selangor menjadi pembaca berita, baginda pernah diiktiraf sebagai Penyampai Berita TV Terbaik sebanyak dua kali di Anugerah Seri Angkasa iaitu pada 2001 dan 2005,” katanya.

Dalam hantaran yang sama, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menzahirkan ucapan syabas dan tahniah atas sambutan ulang tahun ke-75 RTM pada 1 April.

Sultan Sharafuddin berharap agar RTM terus menjadi wadah penyebar maklumat dan informasi yang tepat dan telus kepada rakyat jelata, serta terus relevan sebagai sumber media utama yang sahih dan berkaliber.

– Bernama

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Jangan lupa baca ini...

Copyright © 2021 Media Rania - LIVE ON NEW SERVER