Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Pendapat

PAU 2020: Gegak Gempita Yang Hilang..!

Kongsikan Artikel Ini

Umno dan Bersatu berada di bawah satu bumbung, iaitu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN). Walaupun berlaku selisih faham namun ia masih damai, walaupun geloranya sepanjang hari. Marilah kita lupakan persengketaan dan Umno perlu sokong kabinet PN pimpinan Muhyiddin Yassin.

Kesemua menteri dan timbalan menteri yang menjadi penyumbang idea dan kerja dalam kabinet PN kini kembali berkhidmat seperti biasa. Tiada apa lagi yang perlu diputuskan kerana tuan badan tetap berpendirian mahu kekal dalam kabinet demi rakyat.

Apa presiden boleh buat? Tentunya menurut apa yang dilakukan. Apabila seorang presiden bukan berada di puncak kuasa, inilah realitinya. Pokok yang condong,kura-kira pun akan panjat.

Jangan marahkan mereka kerana ingkar arahan parti dan penyokong. Mereka juga ada pertimbangan yang bijaksana.

Kebijaksanaan Muhyiddin dalam mengawal suasana harus dipuji dan dia amat memahami “gertakan” ini tidak akan sampai ke mana. Atas dasar kedudukan sebagai kepala negara, maka ia berakhir dengan sejahtera walaupun gegak gempitanya bagai nak kiamat.

Guruh berdentum, hujan tak jadi. Kain di jemuran tetap kering.

Tamat sudah episod desakan terhadap “pernikahan” politik antara Umno dan Bersatu. Perhimpunan Agung Umno (PAU) sudah buat keputusan dan akar umbi sudah bersetuju.

Presiden Umno telah menggunakan semua perkataan yang menggambarkan Umno tidak perlukan Bersatu. Jerit pekik perwakilan, bangun tanda sokongan kelihatan menyemarakkan PAU walaupun tidak seperti sebelumnya.

Ucapan presiden berbentuk arahan parti dan ia datang dari badan tertinggi iaitu Majlis Tertinggi (MT). Namun selepas PAU ia seperti debu yang ditiup angin.

Tidak ada ucapan untuk berhibur kali ini seperti kebiasaannya. Tiada seloka tanda gembira melainkan “boo” yang mewarnai PAU ketika Shahidan Kassim berucap. Shahidan seperti rusa masuk kampung selepas kena “boo”. Agak gelabah dan hilang semangat.

Sebahagian besar pembahas melepaskan perasaan yang terbuku. Bersatu menjadi mangsa belasahan setiap penjuru.

Pengerusi Umno Kelantan Jazlan Yaakub konsisten dengan pendiriannya dan dia bercerita dengan jelas sebab penarikan sokongan terhadap kerajaan PN. Ucapannya bersemangat namun tindak balas daripada perwakilan nyata hambar. Bila diminta bangun menyokong, perwakilan bangun dalam keadaan seperti terpaksa.

Berapi-api ucapan menolak dan mahu singkirkan Bersatu yang dianggap berlaku tidak adil dan membuli Umno. Semua Itu warna-warni PAU yang sudah terpadam sehari selepasnya.

Ku Li bersuara selaku penasihat Jemaah Penasihat namun nasihat yang diberikan masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.

Kata Ku Li, Menteri daripada Umno mesti tarik diri segera. Suara Ku Li tidak lagi dipakai maka eloklah Ku Li mengkaji kedudukannya apakah perlu melepaskan jawatan itu.

Apa yang cuba nak diperkatakan, Muhyiddin bukan calang calang perdana menteri. Ada orang sebut Muhyiddin “tapau” PAU dan keadaan berlaku dengan baik apabila semua menteri dan timbalan menteri daripada Umno akur akan nasihatnya.

Mereka setuju untuk tidak letak jawatan dan secara jelasnya, keputusan parti tidak lagi menjadi keutamaan.

Saya yakin PN memiliki kelebihan dan terbukti kebijaksaan Muhyiddin adalah penyelamat kepada muafakat yang lebih erat selepas ini.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Jangan lupa baca ini...

Copyright © 2021 Media Rania - LIVE ON NEW SERVER