Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Ekonomi

Hutang 1MDB Masih Belum Surut

Kongsikan Artikel Ini

KUALA LUMPUR, 26 Mac – 1Malaysia Development Bhd (1MDB) masih mempunyai RM32.3 bilion hutang yang perlu dibayar dengan bon/sukuk matang antara 2022 dan 2039, menjadikan jumlah kupon/keuntungan yang perlu dibayar sehingga tarikh matang sebanyak RM40.51 bilion.

Dua daripada hutang tersebut adalah bon denominasi dolar Amerika Syarikat bernilai US$3.5 bilion (kira-kira RM14.7 bilion) dengan kadar kupon 5.75 peratus dan 5.99 peratus, yang akan matang pada 2022.

Bon denominasi dolar Amerika Syarikat bernilai US$3 bilion (kira-kira RM12.6 bilion) dengan kadar kupon 4.4 peratus setahun akan matang pada 2023 dan hutang terakhir 1MDB, Sukuk bernilai RM5 bilion dengan kadar keuntungan 5.75 peratus akan matang pada 2039, menurut 1MDB dalam kenyataan di sini hari ini.

“Jumlah keseluruhan bon/Sukuk termasuk bayaran prinsipal dan kupon/keuntungan yang perlu dibayar oleh 1MDB sehingga tarikh matang adalah sebanyak RM40.51 bilion.

“1MDB akan meneruskan usaha mendapatkan semula aset bagi membolehkannya membayar balik kesemua bon/Sukuk apabila matang kelak,” katanya.

Sebagaimana diumumkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) sebelum ini, kerajaan Malaysia telah menerima penyelesaian tunai bernilai US$2.5 bilion daripada Goldman Sachs.

Jumlah tersebut telah dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (“Akaun Amanah”) yang disenggara oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

 Baru-baru ini, 1MDB juga telah berjaya membuat penyelesaian bernilai RM2.83 bilion dengan AMMB Holdings Berhad, dan sebanyak RM324 juta dengan Deloitte.

Semua hasil yang diterima daripada usaha pengembalian aset ini, termasuk penyelesaian yang akan datang, telah atau akan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah tersebut.

Usaha untuk mendapatkan semula aset 1MDB menjadi keutamaan Lembaga Pengarah 1MDB, katanya.

Bagi tujuan tersebut, MOF telah menubuhkan pasukan khas yang dianggotai oleh wakil 1MDB, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Governans, Integriti dan AntiRasuah Nasional.

Proses ini juga melibatkan pelantikan penasihat undang-undang profesional yang akan membantu 1MDB dalam usaha mendapatkan semula aset dan tindakan sivil di mahkamah.

Yuran profesional penasihat undang-undang yang dilantik adalah berdasarkan jumlah masa yang terlibat, selaras dengan kadar yang telah dirunding dan dipersetujui, dan bukan berdasarkan komisen mahupun peratusan nilai penyelesaian atau nilai aset yang diperoleh.

– BERNAMA

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Jangan lupa baca ini...

Copyright © 2021 Media Rania - LIVE ON NEW SERVER